09 November 2010

Zaid, Mustafa mahu pemilihan dibatalkan



Zaid, Mustafa mahu pemilihan dibatalkan

Oleh Mat Zahari Ali dan Fazy Sahir

PETALING JAYA: Dua calon merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Zaid
Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayob menggesa pimpinan
tertinggi dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membatalkan semua
keputusan serta mengadakan pemilihan baru yang lebih adil dan
telus.

Dalam sidang media di kediaman beliau di Tropicana dekat sini, Zaid
berkata tindakan melepaskan semua jawatan serta protes yang
dilakukan terhadap parti bukan disebabkan oleh undi yang tidak memihak
kepada beliau.

"Saya sangkal tuduhan Dato Seri Anwar Ibrahim yang menuduh saya
bertindak melepaskan semua jawatan dalam parti disebabkan saya
kurang mendapat undi di Sabah.

"Saya telah membuat pelbagai aduan dan bantahan termasuk menghantar
surat kepada JPP pada 5 Oktober lalu berhubung pelbagai
kelemahan dan penyelewengan yang berlaku ketika pemilihan tetapi tiada
satu pun tindakan di ambil.

"Bagaimana nak diteruskan pemilihan sedangkan segala kelemahan dan
penyelewengan tidak diperbaiki malah dibiarkan berlaku secara
berleluasa," kata Zaid.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang menganggap beliau cuba
‘menggagalkan’ proses pemilihan yang sedang berlangsung juga
tidak benar.

"Saya sentiasa konsisten dalam menegur parti dan mana-mana pemimpin
yang saya rasa tersasar dari perjuangan parti.

"Dalam isu ini bukan saya dan Mustaffa sahaja yang membantah malah
ramai lagi calon-calon yang menyatakan sokongan terhadap
kami membantah ketidakadilan dalam pemilihan dan mahukan pemilihan
dibuat dalam situasi lebih adil.

162 aduan tidak diambil tindakan

Sementara itu dalam sidang media bersama, Mustaffa berkata tindakan
beliau dan Zaid mahukan pemilihan dilakukan semula
disebabkan parti tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelbagai
aduan yang telah dibuat.

"Sejak 28 Oktober lalu sebanyak 162 aduan dibuat kepada JPP berhubung
pelbagai salah laku pihak JPP yang mencemarkan proses
pemilihan tetapi tiada tindakan diambil oleh pimpinan tertinggi parti.
Menurut Mustaffa, tindakan beliau memprotes ketelusan JPP bukan
bertujuan memperlekeh parti tetapi usaha membersihkan parti perlu
dilakukan secara berhemah.

"Saya telah 12 tahun berada dalam parti dan pemilihan ini merupakan
proses menambahbaik parti dan tindakan Dato Zaid dan saya
lakukan ini semata-mata untuk memastikan parti berada dilandasan yang
baik," ujar beliau.

Menyerah memo

Sehubungan itu, Mustaffa akan menyerahkan memorandum bantahan kepada
JPP pada jam 3.30 petang ini.

"Memo ini mempersoalkan tentang ketelusan, kepincangan dan sikap berat
sebelah JPP dalam proses pemilihan. Mereka (JPP) sudah
menyimpang dari prinsip bersih, adil dan telus seperti yang termaktub
dalam perlembagaan parti," katanya.

Menurut beliau, dalam memorandum tersebut beliau memberi tempoh 48 jam
kepada JPP untuk bertindak dan membuat keputusan
berhubung pembatalan proses pemilihan yang sedang berlangsung.
Ketika ditanya beliau tidak menyatakan tindakan selanjutnya sekiranya
memorandum tersebut tidak mendapat layanan.

"Kita akan fikirkan tindakan lanjut selepas 48 jam nanti," kata beliau.-FMT

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...