PKR diminta tangguh pemilihan tumpu Batu Sapi, selesai pelbagai isu cabang
KUALA LUMPUR, 12 Okt — Calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin minta partinya yang dalam proses mengadakan sistem pemilihan langsung bersejarah peringkat pusat, kira-kira sebulan bermula 29 Oktober ini, agar menangguhkan aktiviti itu.
Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadian Rakyat (PKR) harus meneliti syor ini supaya parti ada masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan proses pemilihan dan juga bagi memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.
Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini berkata, parti perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak “agar jangan sampai rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.”
“Kita hendak siapkan rumah baru dengan menggunakan sistem pemilihan dan memberi ruang demokrasi yang luas, tetapi dalam usaha kita hendak mencipta ruang demokrasi yang luas, jangan sampai kita dilihat rumah siap tetapi pahat terus berbunyi,” kata beliau ketika dihubungi.
Oleh itu pemimpin dari Rembau, Negeri Sembilan ini berkata, apa salahnya proses pemilihan ini ditangguhkan sementara bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang banyak dibangkitkan di peringkat cabang sebelum ini.
“Walaupun masalah yang wujud ini sikit sahaja tetapi boleh menjejaskan pencapaian sejarah besar kalau kita terburu-buru mahu menyelesaikan proses pemilihan ini dengan tidak cermat mendengar serta menyelesaikan masalah teknikal yang ada,” kata beliau lagi.
Malah Badrul Hisham yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia berkata, langkah berani parti memperkenalkan sistem satu undi satu ahli turut berjaya menggamit perhatian banyak pihak untu melihat proses pemilihan kali ini dijalankan dengan jaya.
Menurutnya, pemilihan 2010 juga dianggap sebagai harapan baru bagi anak muda sebelum mereka menempuhi pilihan raya kecil ke-13 iaitu Batu Sapi.
PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.
Sebahagian cabang bermasalah akan mengadakan pemilihan sebelum kongres hujung bulan depan manakala yang lain akan berbuat selepas kongres
Tiada ulasan:
Catat Ulasan