Akan berlakukah perpecahan?
9/13/10 • OLEH msk
Ramai yang sudah mula risau bahawa Pemilihan PKR 2010 ini akan membawa kepada perpecahan. Ada yang mengatakan bahawa pemilihan yang semakin panas ini akan membawa kehancuran kepada parti. Siapa yang bercakap sedemikian? Kita imbau sejarah PKR dari zaman Keadilan lagi.
Sejak penubuhan Parti Keadilan Nasional lagi, parti terbahagi kepada beberapa puak. Puak ABIM, Puak NGO dan puak ex-umno. Kemuncak pertentangan ini berlaku dalam pemilihan di Kemaman pada tahun 2001 dimana jawatan dibolot oleh puak ABIM dan ex-umno manakala puak NGO tersisih. Maka bermulalah rasa tak puashati puak NGO yang diketuai oleh Chandra Muzaffar yang akhirnya keluar parti.
Dalam Mesyuarat Agung itu juga, satu usul dibuat iaitu percantuman dengan PRM dimana 64% ahli-ahli menyokong usul tersebut. Bagi aku, usul tersebut cukup baik kerana ia akan memperkasakan parti. Tetapi puak ABIM tidak bersetuju kerana PRM jauh berbeda dengan pegangan mereka. ABIM yang dianggap Islamik hendak bergabung dengan PRM yang sosialis?
Puak ABIM menentang percantuman tersebut dengan alasan sukar bagi Keadilan untuk bekerjasama dengan PAS. PRM tidak dapat diterima oleh PAS. Malah memang benar, pada PRU 2004, pencalonan Syed Husin untuk bertanding di Kota Bharu telah ditolak oleh Nik Aziz. Bukan itu saja, Nik Aziz telah mengeluarkan fatwa bahawa sosialis itu adik kepada komunis. Akhirnya Syed Husin menarik diri dari bertanding.
Dalam Mesyuarat Agung di Sungai Petani pada tahun 2002, ahli Keadilan telah mengundi untuk bersetuju atau tidak tentang percantuman dengan PRM. Dan ketika ahli-ahli Keadilan membuang undi, puak ABIM telah bertindak keluar dari dewan membantah pengundian tersebut dan mengadakan sidang akhbar disebuah hotel dibandar Sungai Petani yang turut disertai oleh Mustaffa Kamil Ayub.
Dalam ucapan penggulungan, salah seorang yang berucap telah memberikan label pengkhianat kepada puak ABIM kerana tidak menghormati proses demokrasi yang sedang berjalan dalam Keadilan masa itu. Dan sekarang, pengkhianat parti itu akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, manakala wira Keadilan yang memberikan label pengkhianat itu telah pun mengkhianati parti dengan menyertai Umno.
Pergeseran memang tidak boleh dielakkan tetapi ianya juga mematangkan politik ahli.
Apakah penentangan puak ABIM terhadap percantuman dengan PRM itu kerana perbezaan ideologi? Aku rasa tidak. Alasan yang utama ialah kerana mereka takut kehilangan jawatan-jawatan yang akan diambil oleh orang-orang PRM. “kita susah-susah berjuang dijalanraya, tiba-tiba bagi jawatan kat orang PRM!!!”
Selepas percantuman dengan PRM dan parti dikenali dengan nama PKR, maka ramailah puak ABIM yang merajuk. Tapi apakah ianya melemahkan parti? Tidak, sebaliknya PKR menjadi lebih kukuh dan matang.
Pemilihan 2004 cukup menarik kerana Kongres Pertama PKR dibuat di Tua Pek Kong Ipoh. PKR bukan saja disertai oleh orang-orang Melayu, tetapi kehadiran ke kongres itu menunjukkan bahawa PKR benar-benar sebuah parti yang rentas bangsa dan ugama. Dan yang paling menarik ialah apabila ahli-ahli PKR bersembahyang jemaah didalam kuil Buddha dan diimamkan oleh Syed Husin yang sosialis.
Politik PKR semakin matang selepas mengharungi peristiwa Kemaman dan Sungai Petani yang mana sebelum itu masing-masing merasakan bahawa pertandingan di Kemaman dan percantuman di Sungai Petani akan membawa kepada perpecahan.
Sebelum PRU 2008, sasaran BA pada masa itu ialah mendapatkan kemenangan yang besar. Tidak ada sesiapa yang menaruh sasaran untuk mengambil alih Putrajaya. Dan ditakdirkan BA menang besar dan Pakatan Rakyat ditubuhkan.
Selepas itu, sasaran dianjakkan setakuk lagi iaitu cuba mengambil alih Putrajaya. Cubaan 16 September gagal, tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk mencapai sasaran. Anwar cuba menarik seberapa ramai sokongan, baik dari golongan jalanan mahupun golongan elit. Nama-nama besar ditarik untuk memastikan sasaran ke Putrajaya itu akan tercapai.
Kemasukkan ahli-ahli baru ini telah menimbulkan keresahan kepada ahli-ahli lama. Mana boleh jawatan-jawatan penting diberikan kepada mereka yang belum diuji kesetiaan mereka? Kita yang susah-susah menghidupkan parti, tiba-tiba hendak diberikan kepada orang baru?
Orang baru ini liberal. Orang baru ini mempunyai imej yang tak baik. Orang baru ini akan menyebabkan PKR akan bermasalah dengan Pas.
Alasan-alasan yang sama yang diberikan oleh puak ABIM ketika menentang percantuman denga PRM dulu digunakan. Alasannya? Kerana takut jawatan-jawatan mereka diambil alih orang-orang baru yang masih diragui kesetiaannya.
PKR mampu menjadi parti yang lebih kuat kalau politik berpuak-puak itu dihapuskan. Pilih pemimpin berdasarkan kemampuan mereka untuk memimpin. Tidak ada lagi puak ABIM, tidak ada lagi puak PRM dan tidak ada lagi puak ex-umno.
Sekarang sudah tidak ada lagi puak-puak dalam PKR tetapi timbul pula Team. Team yang direstui oleh Anwar. Team yang direstui oleh Wan Azizah. Dan mereka yang tidak duduk dalam mana-mana Team.
Anwar sudah banyak melakukan kesilapan. PKR dikhianati oleh mereka yang diambil untuk memegang jawatan penting dalam parti, ataupun AP/ADUN yang belot sehinggakan Anwar terpaksa meminta maaf. Maaf diterima…tetapi kalau diulang kesilapan yang sama, mungkin tiada maaf bagimu.
Anwar patut berada dipihak neutral dan membiarkan proses demokrasi berjalan dengan bebas. Dengan membenarkan namanya digunakan untuk memancing undi, Anwar meletakkan dirinya sebaris dengan pemimpin bawahan.
Komen: Inilah masanya ahli untuk memperbetulkan parti, buang yang mana patut duri dalam daging, Puak yang mengutamakan Kroni-kroni, kaki-Kaki Bodek, Boneka-boneka yang menghalang perkembangan Parti secara sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan