18 Mei 2010

PUNCA KELEWATAN..PROJEK TIPU SPR

Timbalan Pengerusi, Pengarah SPR Negeri Halang Agen Undi Pos Pakatan Rakyat

Oleh Dzukarnain Taib

SIBU 17 Mei - Ketua Undi Pos pilihan raya kecil Sibu bagi Pakatan Rakyat, Zaidi Ahmad menyanggah tuduhan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengatakan ajen parti itu yang menyebabkan kelambatan pengumuman keputusan undi pos semalam.

Malah Zaidi berkata pegawai SPR termasuk beberapa pengarah SPR negeri dan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Omar yang sebenarnya menghalang tugas agen sah yang dilantik calon DAP, Wong Ho Leng untuk memantau dan meneliti undi pos.

"Timbalan Pengerusi SPR, Pengarah SPR Pahang, Pengarah SPR Wilayah Persektuan Kuala Lumpur memberi tekanan dan seolah-olah memaksa petugas kami yang menjaga peti undi pos supaya mengenepikan peraturan yang SPR buat sendiri dan memaksa petugas kami mempercepatkan proses pengunian.

"Sebenarnya SPR yang melanggar undang-undang mereka sendiri dalam keinginan untuk memenangkan calon Barisan Nasional," kata Zaidi ketika dihubungi Suara Keadilan.

Zaidi menjelaskan terdapat 2,808 undi pos yang mana setiap pengundi pos akan diberikan Sampul Keutamaan yang mengandungi tiga item iaitu Sampul A, Sampul B dan Borang 2.

Sampul A pula mengandungi kertas undi sementara Borang 2 adalah borang identiti pengundi pos.

Setelah pengundi pos memangkah kertas undi serta menandatanganinya ia dimasukkan semula kedalam Sampul A dan begitu juga Borang 2 yang telah ditandatangan.

"Berbanding undi biasa, undi pos amat teknikal sifatnya, sebab itu kami mengambil masa berjam-jam untuk meneliti dan memeriksa setiap undi pos supaya tidak berlaku penipuan. Kita mesti ingat peraturan SPR membenarkan pengundi pos membawa balik kertas undi pos dan timbul kemungkinan kertas undi tersebut dipangkah oleh pihak lain dan bukan pengundi pos tersebut. Kita mestu buat bantahan dan tolak mana-mana undi yang cacat dan disyakki undi hantu. Kita membuat kerja dalam kerangka peraturan dan undang-undang yang SPR buat bukan diluar peraturan. Jadi SPR kena hormat undang-undangnya sendiri dan tidak menuduh pihak lain tidak bertanggungjawab.

"Yang melambatkan ialah SPR kerana untuk membuat perjumlahan setiap peti undi pos mereka mengambil masa dua jam walhal ianya boleh dilakukan dalam masa 5 ke 10 minit sahaja. Mungkin kita perlu adakan kelas matematik asas untuk pegawai SPR yang bertugas semasa pilihan raya," kata Zaidi sinis.

Beliau juga membidas sikap SPR berusaha untuk menjadi rakan BN daripada menjadi sebuah badan yang bebas, telus dan adil.

"Kami ada hak sebagai sebuah parti yang bertanding di dalam pilihan raya kecil ini. Kalau SPR nak kerja 'cincai' lebih baik bagi saja semua undi pos itu kepada BN dan sememangnya sejak dulu hingga kini 98 peratus undi pos memihak kepada BN.

"Setiap peti undi ada seorang petugas kami yang jaga dibandingkan BN yang hanya hantar seorang agen untuk memantau 11 peti undi pos. Tetapi apabila keadaan sudah gawat bagi BN dan mereka melihat undi pos akan menentukan hidup mati mereka dalam PRK ini berduyun-duyun mereka hantar wakil yang hanya memakai pas agen yang difotokopi dan bukan pas yang sah tetapi SPR buat tak tahu," tegas beliau.

Pada PRK Sibu semalam Wong menang dengan majoriti 398 undi dengan mendapat 18,845 undi berbanding calon BN, Robert Lau Hui Yew yang memperolehi 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi. Jumlah undi rosak ialah 395.

BN menang undi pos dengan mendapat 2,323 undi manakala Wong mendapat 70 undi dan calon Bebas pula 36 undi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...