13 Mei 2010


Kes tangguh 31 Mei, Ezam hadir bukan sebagai saksi


Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei hingga 4 Jun depan dengan menyambung sesi menyoal balas saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membuat penangguhan itu selepas dipohon peguam bela, Karpal Singh pada perbicaraan tertutup petang tadi bagi membolehkan pihak pembela melawat sekali lagi lokasi kejadian liwat yang didakwa berlaku.

Ianya juga bagi mendapatkan maklumat tambahan berikutan permohonan Karpal untuk mendapatkan kenyataan beramaran daripada Saiful yang diberikannya kepada polis, ditolak hakim.

Terdahulu, mahkamah mengenepikan permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan beliau berhubung penolakan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi yang dibuat kepada polis.

Anwar ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata, beliau kesal dengan keputusan hakim yang menolak permohonan karpal supaya perbicaraan kes tersebut ditangguhkan sementara mahkamah rayuan membuat keputusan.

"Masalah kita ialah tidak bersetuju dengan keputusan hakim yang memudahkan soal pendakwaan yang kita anggap tidak adil, aju ke Mahkamah Rayuan pun tidak mahu ditangguh.

"Kalau sesi ini berjalan dengan pertuduhan yang ada sekarang, dah la pertuduhan tu zalim, tambah zalim lagi," katanya.

Sementara itu, Senator Ezam Mohd Nor yang diakui Saiful bertemu dengannya, hadir ke mahkamah petang ini bagi memperkenalkan diri selepas disebut dalam keterangan Saiful semalam.

Beliau dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta diiringi beberapa orang rakan dan penyokong.

Semalam, Saiful mengakui bahawa dia ada bertemu dengan bekas Ketua Pemuda PKR itu pada lewat malam 27 Jun sehingga awal pagi 28 Jun 2008 di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Pertemuan itu menurutnya berlangsung beberapa jam sebelum Saiful menjalani pemeriksaan perubatan dan kemudian membuat laporan polis.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...