Takutkan tsunami politik kedua selepas insiden keganasan polis di dalam Dewan Undangan Negeri Perak dua hari lalu, Barisan Nasional mengarahkan lebih 50 anggota polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan untuk menceroboh tapak sambutan ulangtahun ke 10 Parti Keadilan Rakyat di Tasik Puteri, Rawang serta membatalkan permit bagi mengadakan acara tersebut.Majlis itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengasas Cawangan Tasik Puteri serta mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.Mengikut aturcara sambutan, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub, Exco Selangor Yaakob sapari serta pimpinan Pakatan Rakyat dijangka hadir pada sebelah malam.
Program sambutan dijadualkan bermula pukul 2 petang dan lebih 10,000 penyokong Pakatan Rakyat dijangka membanjiri Tasik Puteri untuk bersama-sama memeriahkan lagi sambutan ulangtahun ke 10 PKR yang diasaskan pada April 1999.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulangtahun ke 10 PKR, Wan Jusoh Wan Kolok pihak polis telah meluluskan permit untuk mengadakan acara tersebut pada 5 Mei lalu tetapi telah membatalkannya atas alasan yang tidak munasabah."Dalam surat kepada kami polis mengatakan antara lain permit yang diperolehi tidak sepatutnya diluluskan oleh pegawai yang meluluskan permit tersebut."Kini mereka paksa kami pindahkan acara tersebut pada saat akhir ke stadium di Selayang dan ini merupakan satu bentuk penindasan dan kezaliman terhadapan kebebasan rakyat untuk mengadakan aktiviti sosial dan kegiatan politik.
"Mungkin mereka takut rakyat akan mendapat maklumat dan penjelasan daripada pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat mengenai keganasan polis dalam DUN Perak baru-baru ini," kata Wan Jusoh yang juga seorang tokoh reformis terkenal.Tambah beliau anggota FRU yang muncul di tapak acara sambutan dengan diiringi anggota polis daripada IPD Gombak telah merampas bendera, kain rentang serta mengenakan sekatan jalan raya di kawasan sekitar Tasik Puteri menuju ke tempat di mana sambutan tersebut diadakan.
Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang juga turut terlibat membuat rampasan dan menggagalkan acara tersebut walaupun ia mendapat dokongan kerajaan negeri.Menurut salah seorang anggota penguatkuasa arahan telah dikeluarkan oleh Setiausaha MPS. Ini menimbulkan kesangsian sama ada MPS yang di bawah kuasa kerajaan negeri tidak menghormati dasar pemerintahan kerajaan negeri Pakatan rakyat tetapi sebaliknya lebih cenderung kepada Umno dan BN.
Peniaga yang telah siap sedia untuk memulakan perniagaan mereka juga telah diarahkan pulang dan hampir 50 gerai juga diarah tutup."Polis juga memberi amaran akan menangkap sesiapa sahaja termasuk pemimpin Pakatan rakyat sekiranya program sambutan ini diadakan juga."Rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru lebih dahsyat menggunakan polis untuk tujuan politik Barisan Nasional," kata Wan Jusoh lagi.Wan Jusoh berkata beliau dan jawatankuasa sambutan akan mengadakan satu sidang akhbar di Tasik Puteri pukul 5 petang untuk menjelaskan pembatalan sambutan itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan