21 November 2011

Sindiket Syabu terbesar bernilai RM27 juta tumpas

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah terbesar tahun ini kali ini melibatkan syabu siap diproses bernilai RM27 juta telah berjaya ditumpaskan dengan penahanan lapan ahli dua sindiket warga Iran dalam serbuan berasingan di Lembah Klang.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman percaya kedua-dua sindiket ini berbeza dan tiada kaitan namun menggunakan modus operandi sama iaitu menyeludup dadah melalui Pelabuhan Klang menggunakan kontena.
Dalam serbuan pertama di Jalan Ulu Klang pada 11 Nov, Pengarah jabatan itu Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dua lelaki Iran ditahan bersama syabu seberat 14.2 kg disimpan dalam sebuah kontena berisi palet batu marmar.

"Kedua-duanya ditahan sebelum itu di kawasan Jalan Kampung Pandan di sini yang kemudian membawa polis ke kawasan kontena dan menemui dadah diselitkan di celah-celah kepingan batu marmar disorok dalam lapisan polyboard " katanya.


Noor Rashid memberitahu satu sidang akhbar di sini hari ini, dalam serbuan terbaharu di Taman D'Alpinia, Puchong, dekat sini petang Sabtu lepas, polis berjaya menahan enam warga Iran bersama syabu seberat 124.9 kg yang disorok dalam ruangan sulit bawah tiga kotak kayu.


"Dalam setiap kotak itu kami mulanya menemui meja hiasan, lampu perhiasan, pasu bunga, bingkai cermin serta lain-lain barangan namun selepas bahagian bawah diperiksa, berhasil menemui dadah tersebut.

"Ketiga-tiga kotak besar itu diletakkan di perkarangan luar rumah lot hujung yang disewa suspek dan dijadikan stor simpanan dadah sebelum diedarkan," katanya.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM 137,400 dipercayai hasil jualan dadah dirampas di rumah tersebut selain beberapa kenderaan mewah seperti Lexus, Mercedes Benz, BMW dan MG Rover disita.

Beliau berkata tindakan ini (sita) bagi membantu siasatan ke atas harta suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340.

Noor Rashid percaya kedua-dua sindiket membawa masuk dadah yang siap dibungkus itu untuk pasaran tempatan dan kemungkinan untuk edaran rangkaian serantau.

"Operasi ini berjaya hasil tindakan susulan dan pemerhatian ke atas beberapa kontena yang selesai diperiksa di pelabuhan sebelum dibawa keluar arah sekitar Lembah Klang dan polis masih menyiasat dari mana, bila dan bagaimana dadah itu dibawa masuk," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 29 dan 51 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. - BERNAMA

ROSMAH BELI GELANG YANG SAMA US$ 55,000.....WOW !?!

Rosmah Beli Gelang Yang Sama US$ 55,000… wow !

“Saya berada di Beijing pada 16 haribulan untuk mesyuarat di Hotel Shangri-la,
Zizhuyuan Road, Beijing dan berjalan-jalan ke kedai mutiara di ruang legar hotel dengan rakan-rakan yang ingin membeli gelang untuk isterinya.

Dia mengambil gelang berlian yang indah ini hanya untuk mengetahui bahawa kosnya adalah US$ 55,000.

Gadis jualan kemudian menunjukkan kita ke arah gambar di dinding, dan berkata bahawa isteri Presiden Malaysia membeli gelang yang sama”.

Dan ia tidak lain dan tidak bukan adalah… Rosmah.


Surat pembaca dipetik dari sini.

SUMBER : http://reformisanakmuda.blogspot.com/2011/11/rosmah-beli-gelang-yang-sama-us-55000.html#more

SUMBER ASAL : http://malaysia-today.net/mtcolumns/letterssurat/45078-rosmahs-us55000-bracelet

NOH OMAR MENTERI BERFIKIRAN JKKP

Tak bubar DUN Selangor, Umno kini gusar, kata Faekah

Pengumuman kerajaan negeri Selangor untuk hanya membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas Jun tahun depan mengundang kegusaran pelbagai pihak, terutamanya di kalangan BN dan Umno, kata setiausaha politik, menteri besar, Faekah Husin.

Katanya, ramai daripada mereka itu melenting dan pelbagai tuduhan pula dilemparkan.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat tiada sebab pilihan raya awal diadakan kerana mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri sekarang hanya akan tamat selepas Mac 2013.

“Alasan yang diberikan oleh menteri besar amat jelas bahawa kita tidak mahu mencontohi amalan Umno-BN pada 2008 bila mana pilihan raya diadakan pada Mac 2008 semua peruntukan ADUN Umno-BN pada tahun tersebut telah habis digunakan walaupun bajet baharu sahaja dibentangkan pada November tahun sebelumnya.

“Menteri besar juga menegaskan kerajaan negeri mahu memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2012 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Faekah, seperti dijangka, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor mempertikai keputusan berkenaan.

Malah, katanya, Noh juga menuduh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai cuba tunjuk dan gila kuasa dan takut menghadapi pilihan raya.

“Sejak isu penyalahgunaan dana untuk projek menternak lembu dibongkar, Noh menjadi tidak keruan. Jawapan-jawapan yang diberikan oleh beliau langsung tidak menunjukkan pemikiran seorang menteri.

Ghairah main politik

“Noh tiada kredibiliti untuk mempertikaikan keputusan kerajaan negeri Selangor ini. Selaku menteri kabinet, beliau telah gagal melaksanakan tugas malah terlalu banyak isu kontroversi yang gagal ditanganinya.

“Isu lembu-NFC misalnya, sebagai anak syarikat yang diletak di bawah kementeriannya, Noh

bertanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana geran RM250 juta dibelanjakan termasuk untuk membeli kondomonium,” katanya.

Menurut Faekah, agenda sebenar Noh adalah untuk menonjolkan dirinya di mata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya beliau dilantik menerajui Selangor.

“Noh telah membuktikan dirinya gagal selaku menteri malah cetek ilmu dalam pengurusan kewangan. Noh nampaknya lebih ghairah bermain politik untuk menonjol diri dengan harapan dapat menerajui Umno Selangor.

“Noh begitu ghairah untuk menonjol di mata perdana menteri serta cuba untuk menenggelamkan peranan Datuk Satim Diman selaku ketua pembangkang, apatah lagi ketua pembangkang itu sendiri turut bergelumang dengan skandal,” katanya.

Faekah berkata, dengan tidak semena-mena pula Noh turut menuduh kerajaan negeri tidak mahu bekerja sama dengan pusat dan berpolitik dalam isu pertanian.

Noh, ujar beliau sepatutnya menjadi orang yang terakhir untuk memberi pandangan jangan berpolitik dalam isu rakyat.-

PRU13: UNDI ANAK MUDA PENENTU KE PUTRA JAYA

Pilihan Orang Muda: Pemuda PAS, Umno lancar strategi

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan menyampaikan ucapan beliau ketika Muktamar parti 2 Jun 2011. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 21 Nov — Jika sayap Pemuda dan Puteri Umno melancarkan kempen slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” di ibu negara semalam, pesaing mereka — Dewan Pemuda PAS bertekad mahu meningkatkan fokus ke arah pengundi muda bagi menguasai pilihan raya umum ke-13.
Sayap muda PAS itu mengisytiharkan kempen ke arah memikat golongan muda menerusi konvensyen di Shah Alam kelmarin.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dipetik berkata usaha tersebut merangkumi kemas kini daftar pemilih di kalangan pengundi muda, culaan dan menyusun program bersesuaian bagi mendekati golongan sasar.

Katanya, program penerangan bagi meningkatkan kesedaran mereka untuk mengundi akan diserapkan ke dalam program sosial yang akan dijalankan di peringkat akhir ini.

“Sebelum ini bukan Pemuda tak buat kerja, malah Pemuda di setiap negeri sudah merangka dan melaksanakan pelbagai program mendekati pengundi muda tapi kita ingin tingkatkan dan perkasakan program-program ini untuk mencapai matlamat kita ke Putrajaya,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Kelmarin, Dewan Pemuda PAS mengumpulkan hampir 500 petugas terdiri daripada ketua Pemuda Negeri, Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya negeri-negeri dan kawasan pada Konvensyen Pilihan Raya Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Shah Alam.

Sany berkata, pada konvensyen itu juga, pemimpin Pemuda diberi amanat untuk membantu PAS ke Putrajaya dengan menyediakan tenaga petugas bagi setiap kerusi Parlimen yang bakal ditandingi.

“Walaupun PAS belum tahu berapa kerusi Parlimen yang akan ditandingi, namun Pemuda diberi tugas dalam “roadmap” ke Putrajaya yang dibentangkan oleh (Naib Presiden) Datuk Paduka Husam Musa,” katanya.

Tambah beliau, konvensyen tersebut dijangka program besar yang terakhir oleh Dewan Pemuda PAS sebelum pilihan raya umum-13 yang dijangka berlaku awal tahun hadapan.

Laporan Bernama Online semalam menyebut amanat khas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, yang julung kali diadakan khas bagi sayap Pemuda dan Puteri semalam, antara lain menekankan usaha transformasi politik dan persediaan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata taklimat itu turut menyentuh mengenai strategi untuk menawan negeri-negeri yang BN serta usaha mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ahmad berkata selain itu pada pilihan raya umum akan datang, pengundi muda merangkumi 38.8 peratus daripada 12 juta pengundi, dan mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun, dan memainkan peranan sebagai penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata acara yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti untuk memberi suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Pemuda dan Puteri melancarkan slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” sebagai identiti baru pergerakan itu dalam usaha memberi lebih pilihan kepada pengundi sasar menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Mulai hari ini semua gerak kerja tertumpu kepada slogan itu, di mana identiti baru itu akan menjadi teras kepada kita.

“Dari dulu kita ada Undilah Barisan Nasional sekarang kita segarkan semula bahawa generasi muda ada pilihan, kuasa ada di tangan mereka, pilihan setelah mereka lihat apa yang telah BN buat dan ditawarkan selama ini,” katanya.-tmi

20 November 2011

Akta kebebasan berhimpun dijangka ke Parlimen minggu ini

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Putrajaya akan membentangkan satu akta baru berkaitan kebebasan mengadakan perhimpunan secara aman susulan keputusan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis, sebagaimana dijanjikan September lalu, di Parlimen minggu ini.
Antara lain peruntukan penting yang akan dibawa undang-undang itu — yang bakal dikenali sebagai akta kebebasan berhimpun — memerlukan “persetujuan” pelbagai pihak apabila satu-satu perhimpunan awam atau perarakan hendak diadakan.

“Dalam lain perkataan, akta ini akan menyediakan peruntukan mengenai masa, hari dan tempat satu-satu perhimpunan atau perarakan boleh diadakan . . . misalnya perarakan atau perhimpunan hanya boleh diadakan pada hujung minggu atau hari-hari tertentu, di tempat yang khusus agar tidak mengganggu orang ramai,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu telah diputuskan oleh mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

Sebelum ini ada cadangan bahawa perhimpunan awam boleh diadakan di tempat-tempat khusus seperti stadium.

Difahamkan undang-undang baru itu, yang mirip akta kebebasan perhimpunan awam yang diguna pakai di beberapa negara maju antaranya di United Kingdom (UK) dan Finland, akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja Bajet 2012 diluluskan. Bajet 2012 dijadual untuk diluluskan Rabu ini.

Di UK, undang-undang kebebasan awam dikenali sebagai Public Order Act manakala di Finland ia dinamakan sebagai Assembly Act.

“Saya difahamkan Datuk Seri Najib akan membentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 November (Khamis ini), jika tiada apa-apa perubahan, kita boleh lihat satu lagi akta baru berkaitan transformasi politik, yang diumumkan beliau September lalu,” kata seorang Ahli Parlimen kepada The Malaysian Insider.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) juga mengesahkan pihaknya telah diajak terlibat

dalam perbincangan berkenaan akta itu.

“Akta baru ini digubal ekoran keputusan kerajaan mahu memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Khabarnya akta baru ini mempunyai elemen-elemen yang memberi ruang lebih luas untuk mengadakan perhimpunan aman. Ia dibayangkan sebagai sambungan kepada pengumuman perdana menteri tentang pemansuhan ISA, kebebasan media yang lebih,” kata satu lagi sumber.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen yang dihubungi berkata belum ada agenda berkaitan rang undang-undang berkaitan dalam aturan mesyuarat setakat minggu lalu.

“Mungkin ia akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat minggu depan (minggu ini),” kata seorang wakil rakyat dengan merujuk kepada sidang Dewan Rakyat yang bersambung esok.

Pada 15 September lalu, ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Ketika itu Najib memberitahu kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri telah dimansuhkan bulan lalu manakala pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibentangkan di Parlimen Mac depan selepas dua undang-undang yang bakal menggantikannya siap digubal.

Mengulas lanjut perkembangan ini, Lim berkata, perkembangan itu adalah satu “isu yang penting” dan pihaknya yakin bahawa “skim baru ini selari dengan amalan-amalan terbaik peringkat antarabangsa.”

“Perkembangan baru ini merupakan satu langkah yang betul dalam arah tuju mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang liberal dan progresif, yang mengiktiraf, melindungi dan menguatkuasakan kebebasan untuk berhimpun,” kata Lim lagi.

“Majlis Presiden menghargai keterbukaan dan pendekatan berunding yang diambil oleh peguam negara dan perdana menteri, yang melibatkan pelbagai pihak,” katanya lagi.-TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...