Para peserta tersebut antara lainnya membawa kain rentang dengan slogan 'Mana Shabery', merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sebahagian daripada saham Bernama TV dipegang oleh agensi berita nasional Bernama, yang terletak bawah bidang kuasa menteri tersebut.
Difahamkan seramai kira-kira 140 kakitangan diarah bercuti kerana Bernama TV tidak mampu menanggung bayaran gaji mereka.
Gaji terakhir yang diterima adalah pada 24 Disember.
Bernama TV dimiliki oleh Bernama TV Synergy Bhd, dengan pegangan 33 peratus oleh Bernama. Selebihnya dimiliki oleh pemegang saham swasta.
Para peserta itu turut membangkitkan isu sama yang dihadapi oleh pekerja separuh masa di stesen penyiar nasional, RTM.
Ada di kalangan kakitangan separuh masa RTM itu terpaksa menjual kelapa dan bekerja di restoran makanan segera dan menangguhkan rancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana masalah bayaran gaji.
Seorang daripada peserta perhimpunan semalam membawa plakad dengan slogan: "BTV, RTM, Lawan tetap lawan".
Selain itu, Astro Production iaitu anak syarikat penyedia televisyen berbayar Astro - juga dilaporkan telah memberhentikan seramai 60 kakitangan mereka dengan notis 24 jam. ~ATV
"Kami semua bukan sahaja hendak makan tidak cukup duit, hendak pergi kerja pun duit tidak ada," begitu keluhan seorang wartawan Bernama TV.
Katanya, gaji terakhir yang diterima pada 24 Disember tidak cukup untuk menampung kehidupannya selepas gaji untuk bulan Januari masih belum dibayar.
Wartawan itu memberitahu, seluruh tenaga kerja Bernama TV sedih dengan nasib masing-masing kerana tidak ada mana-mana pihak yang tampil untuk bantu.
"Kepada siapa kami hendak mengadu, siapa pun tidak peduli masalah kami.
"Kami ingat semasa Datuk Ahmad Shabery Cheek campur tangan selesaikan tunggakan gaji kami, semua selesai, sebaliknya makin teruk sehingga terpaksa ambil cuti," tambah beliau.
Beliau mendakwa, pihak pengurusan memang ada menasihatkan kakitangan Bernama TV kerana Bernama sudah tidak mampu membantu membayar gaji untuk bulan Januari dan Februari.
Sebagai kakitangan tetap, beliau kesal kerana masalah pembayaran gaji yang mula berlaku sejak bulan Julai tahun lalu semakin kritikal.
Tambahnya, keadaan ini sangat menyakitkan hati apabila banyak pihak saling menunding jari menyalahkan pihak-pihak lain.
"Cuba berterus terang siapa pembayar gaji kami. Mengapa pemilik Bernama TV ini tidak diambil tindakan kerana gagal membayar gaji pekerja, sedangkan terang-terangan menyalahi akta buruh," ujarnya yang tidak menafikan ada ura-ura pihak pengurusan mahu menutup terus operasi Bernama TV.
Jelasnya, mereka dimaklumkan perkara itu bakal diputuskan oleh Kabinet hari ini.
"Kalau pun ditutup tolong bayar pampasan yang setimpal kepada kami atau sekurang-kurangnya serap kami kepada Bernama.
"Kami juga perlu hidup dan jangan biarkan nasib pengamal media seteruk ini," tegasnya. - MalaysiaGazette
1 ulasan:
agaknya inilah akibatnya atau balasannya bersekongkol dgn pihak yg berat sebelah dalam melaporkan berita... tidak beretika... bias...kalau tak sedar diri lagi tak taulah...
Catat Ulasan