04 Julai 2014

KEDAH HARUS BELAJAR DARI MELAKA WALAUPUN ADA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA TAPI TIADA PENERBANGAN KOMERSIAL ....KOS NAIK TARAF LAPANGAN TERBANG RM240 JUTA SIA-SIA!!!!



Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sepi

Satu lagi projek ‘gajah putih’ oleh Kerajaan Negeri Melaka



Pautan kekal imej terbenam



MELAKA: Walaupun RM240 juta sudah dibelanjakan untuk menaiktaraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, namun sejak 15 Mac 2014 tidak ada penerbangan komersial yang beroperasi di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh (DAP), Khoo Poay Tiong berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka kini sudah menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010.

“Sebelum ini ada tiga penerbangan dalam seminggu ke Pekan Baru, Indonesia.

“Walaubagaimanapun selepas membelanjakan RM240 juta untuk menaiktaraf dan memanjangkan landasan lapangan terbang ini, sejak 15 Mac lepas, tidak ada penerbangan komersial yang berlepas dari lapangan terbang ini.

“Mengikut penjelasan kerajaan negeri di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas, kos operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada tahun 2012 ialah RM3.6 juta tetapi pendapatannya pula hanya RM856, 594.

“Pada tahun 2013 pula perbelanjaannya adalah sebanyak RM4.1 juta, manakala pendapatannya hanya RM729,089,” kata Khoo.

Khoo menambah, walaupun beberapa bulan yang lepas ada syarikat penerbangan dari China menyatakan hasrat untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, tetapi sehingga ke hari ini masih tiada sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut.



“Baru-baru ini Kerajaan Negeri berunding dengan AirAsia dan FireFly yang berkemungkinan mereka akan beroperasi di sini.

“Walaubagaimanapun berdasarkan rekod sebelum ini, FireFly pernah beroperasi di sini tetapi menamatkannya selepas tiada sambutan.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Melaka Air dengan menyewa kapal terbang dari FireFly, namun langkah itu juga gagal.

“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Negeri berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka masih beroperasi dan digunakan sebagai pusat latihan penerbangan.


“Tetapi saya kata sebelum lapangan terbang ini dinaiktaraf dan landasannya dipanjangkan pun, lapangan terbang ini sememangnya sudah digunakan sebagai pusat latihan penerbangan.

RM240 juta boleh bina 6, 000 unit rumah kos rendah

“Kerajaan Negeri Melaka harus mengambil serius dan memikirkan bagaimana mengatasi isu ini,” katanya.

Khoo berkata adalah lebih baik RM240 juta itu digunakan untuk membina rumah kos rendah.“Dengan anggaran kos membina rumah kos rendah sebanyak RM40,000 seunit, dengan RM240 juta itu, Kerajaan Negeri boleh membina 6, 000 unit rumah kos rendah.

“Ia mampu menyelesaikan masalah perumahan untuk golongan miskin di negeri Melaka,” ujar beliau.

Khoo dalam nada sindiran mencadangkan Kerajaan Negeri membuka lapangan terbang itu kepada umum pada setiap hari Ahad untuk bermain layang-layang.

“Saya juga cadangkan agar diadakan pertandingan layang-layang peringkat antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya ia mampu menarik pelancong ke negeri Melaka,” kata Khoo.



Kerajaan Kedah Serah Fakta, Justifikasi Pembinaan Lapangan Terbang – Wahid


ALOR SETAR, 3 Julai – Kerajaan negeri Kedah telah mengemukakan fakta-fakta serta justifikasi berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di negeri ini kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu, pihaknya akan melihat dan membincangkan tentang bagaimana untuk merealisasikan cadangan itu.

“Ia (pembinaan lapangan terbang) memerlukan perbincangan lanjut tentang keperluan dan implikasinya. Bukan sahaja dari segi kewangan tapi tentang kewujudan infrastruktur lain sedia ada di Malaysia, juga perlu melihat dari segi konsep pembangunan bagaimana perlu dibiayai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat dan memberikan taklimat berhubung program pembangunan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Kedah bakal memiliki lapangan terbang antarabangsa baharu di tanah seluas 600 hektar di Kulim yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di utara tanah air.

Mukhriz berkata cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini selepas kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo serta penumpang di masa depan pula bertambah.

Mengenai kunjung hormat hari ini, Abdul Wahid berkata EPU akan melengkapkan pengumpulan maklum balas dari setiap negeri berhubung program pembangunan RMK-11 pada Ogos ini.

“Kita adakan perbincangan lanjut bukan sahaja antara EPU dan kerajaan negeri, malah dengan kementerian-kementerian lain dan ini akan diteruskan hingga (RMK-11) dibentangkan di Parlimen pada Jun 2015,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pendekatan yang diambil EPU yang mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan seawal 18 bulan sebelum pembentangan RMK-11.

“Kedah sudah kemuka beberapa cadangan yang selalu kita selalu sebut iaitu tentang lapangan terbang antarabangsa, lebuh raya dan pelabuhan di Kuala Kedah dan lain-lain.

“Kita berminat dengan taklimat EPU mengenai RMK-11 dan kita nak selaraskan perancangan bagi Kedah supaya seiring dengan apa yang dirancang kerajaan pusat,” katanya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Projek yang mampu menjana komisyen! Kah kah kah.. Auta dan mamak pedukang tongkang pecah berpisah tiada.. Huhuuuuu

Tanpa Nama berkata...

Baguih gak tu..ada padang nk main layang2 kt kedah lepaih ni..buat main keta kontrol pun ok gak..sokong..sokong..

Tanpa Nama berkata...

Buat expansion kat Airport Alor Setar supaya ia jadi Lapangan Terbang International terulung di Utara Malaysia lagi praktikal, jimat kos dan masa dan memanfaatkan org kedah perlis selatan thai

Tanpa Nama berkata...

Sokong usaha MB nak bina lapangan terbang antarabangsa baru demi kemajuan Kedah. Lokasi Kulim tak sesuai, kena cari lokasi lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...