24 Mei 2014

MEMALI: KERTAS PUTIH PENUH PEMBOHONGAN



Memali: Kertas Putih penuh pembohongan - Saksi

BALING: Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen penuh pembohongan, dakwa salah seorang saksi kejadian itu, Datuk Muhamad Yusuf Husin.

Muhamad Yusuf mendakwa kerajaan meminta saksi-saksi kejadian Memali supaya mengaku bahawa Ibrahim Mahmod atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai pengganas.

Bekas orang kanan Ibrahim Libya turut mendakwa dalam Kertas Putih itu, beliau juga dituduh oleh kerajaan sebagai Ketua Mujahidin dan timbalan ketua gerakan revolusi.

"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya dalam satu forum di Kampung Memali pada Jumaat.

Forum khas itu bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia'.

Ia diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat.

Muhamad Yusuf juga mendakwa punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya Ibrahim menyifatkan ISA sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.

"Dia pernah kata, dia tak redha ditangkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya.

Muhamad Yusuf juga mendakwa ketika kejadian itu tidak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ibrahim Libya dan bukan seperti jumlah yang dilaporkan di dalam kertas putih itu.

Seorang lagi saksi, Aisyah Ahmad menafikan dakwaan rumah Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi.

Aisyah mendakwa terdapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ibrahim.

Beliau juga menafikan terdapat lebih 100 orang di rumah Ibrahim Libya ketika hari kejadian dengan bersenjata parang.

"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.

"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.

"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.

Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali dihadiri lebih 1000 hadirin.


Read more at:SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan