24 Mei 2014

HARGA GETAH DIJANGKA MEREDUM LAGI !!!


Harga getah jatuh kerana penawaran tinggi

Keadaan dijangka menjadi lebih buruk lagi sekiranya Thailand memutuskan untuk menjual stok simpanan getah yang dianggarkan sebanyak 200,000 tan.

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjelaskan kejatuhan harga getah ketika ini disebabkan penawaran yang lebih tinggi dalam pasaran berbanding permintaan pengguna.

Oleh kerana komoditi itu didagangkan di pasaran antarabangsa, harga pasarannya ditentukan oleh faktor penawaran dan permintaan, menurut KPPK dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa ini, penawaran getah di pasaran lebih tinggi berbanding permintaan dari negara pengguna seperti China sebagai pengguna utama, selain Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Faktor kelembapan ekonomi di negara berkenaan (China) mengakibatkan permintaan terhadap getah berkurangan sekali gus menyebabkan stok simpanan getah berlebihan dalam pasaran,” kata kementerian itu.

Selain itu, pertumbuhan ekonomi rendah, kedudukan pasaran saham dunia, kejatuhan mata wang Amerika ditambah spekulasi harga di pasaran komoditi seperti Tokyo Commodity Exchange turut menyumbang kepada kejatuhan harga.

KPPK berkata, keadaan dijangka menjadi lebih buruk sekiranya Thailand memutuskan untuk menjual stok simpanan getah yang dianggarkan sebanyak 200,000 tan.


Kementerian itu turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa harga pasaran getah di negara ini dipengaruhi oleh kartel yang melibatkan syarikat besar seperti Lee Rubber Sdn Bhd dan Lam Seng Manufacturing Enterprises Sdn Bhd.

KPPK juga telah mengambil beberapa langkah menangani isu kejatuhan harga getah antaranya menyediakan cadangan mekanisme bagi mengawal selia harga getah di peringkat ladang selain menggalakkan pekebun kecil pelbagaikan aktiviti ekonomi mereka dan tidak hanya bergantung kepada hasil jualan getah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan