KARTEL: AZMIN TEPUK AIR DI DULANG
Membaca berita di Malaysiakini pada 13 April 2014 bertajuk 'Kartel Calon Tidak Sihat Pada PKR' saya amat tertarik untuk menulis komen. Dalam laporan tersebut menyebut betapa YB Azmin Ali gusar dengan perkembangan kewujudan pakatan atau kumpulan (kartel) dalam pemilihan KEADILAN 2014 kali ini. Bliau dilaporkan menyatakan ia merupakan perkembangan yang tidak sihat. Malah beliau turut mengumumkan bebas dan tidak membentuk mana - mana pakatan atau fraksi.
Semua ini boleh disifatkan sebagai menepuk air di dulang terpecik muka sendiri. Bukan sahaja anggota parti malah umum telah mengetahui bagaimana budaya kartel atau juga dikenali sebagai chai ini telah wujud dalam pemilihan sebelum ini lagi dan antara pelopor utama budaya ini ialah Azmin sendiri.
Namun bagi saya budaya membentuk kumpulan atau kartel dalam pemilihan seperti tidak boleh dielak khususnya apabila sekumpulan calon berkongsi aspirasi misi dan visi yang sama.
Seperti mana Saifuddin, Izzah dan Rafizi yang berkongsi visi dengan motto Masa Depan Bersama dan Tan Sri Khalid pula berkongsi visi dengan beberapa calon lain dengan motto 'Reformasi Tulen'. Namun mungkin kerana tertekan dengan pembentukan kumpulan - kumpulan yang membabitkan nama - nama besar dalam PKR ini, yang mana selama ini kumpulan dengan nama - nama besar ini hanya mampu dibentuk oleh Azmin sahaja, maka dia menggunakan media menempelak kewujudan bertanding secara kumpulan ini.
Lebih kelihatan jenaka beberapa hari selepas Azmin menempelak budaya bertanding secara kumpulan, pada 16 April dia sendiri telah mengumumkan kartelnya yang dikenali Gagasan Keadilan Raya dalam satu majlis yang besar dengan siap menyediakan kenderaan angkut penyokong.
Jelas sekali kata - katanya konon bimbang dengan kewujudan pembentukan kumpulan dalam pemilihan konon ia akan membawa kesan negatif hanya kenyataan paniknya khususnya apabila teraju muda utama parti seperti Nurul Izzah dan Rafizi mengistiharkan diri bersama Saifuddin. Malah kumpulan ini kelihatan turut didokong oleh Tian Chua yang menarik diri dari persaingan Timbalan dan menumpukan pertandingan Naib Presiden dalam satu sidang media bersama Saifuddin, Rafizi, Nurul Izzah dan ramai pimpinan lain.
Kumpulan terbentuk dari perkongsian misi dan visi bersama baik untuk parti tetapi pembentukan kumpulan boleh jadi negatif apabila ia dibentuk kerana cita - cita kuasa semata atau lebih parah terbentuk kumpulan atau sokongan kerana ugutan akan gugur nama sebagai calon PRU contohnya amat buruk kesannya buat parti.
Mungkin tertekan dengan perkembangan tersebut akhirnya dia sendiri terpaksa mengumumkan kartelnya yang dikenali Keadilan Raya akhirnya kenyataan tersebut umpama menepuk air di dulang.
Dalam isu kumpulan atau kartel, membentuk kumpulan dalam pertandingan tidak salah tetapi sebaliknya mentadbir parti ini dengan hanya melibatkan kumpulan tertentu itu yang salah.Maka muncul persoalan yang perlu dijawab oleh Azmin iaitu bagaimana dengan rungutan ahli akar umbi apabila beliau selaku pengarah pilihanraya pusat dengan hanya berbincang dengan kumpulan rapatnya sahaja memutuskan hampir semua senarai calon dalam PRU yang lepas khususnya dengan mengenepikan sebahagian calon yang berpotensi menang, calon yang bekerja, calon yang diangkat diperingkat cabang dengan menerjunkan calon yang rapat dengan beliau atau kumpulan beliau ?
Tindakan mengutamakan kumpulan inilah yang sebenarnya menghancurkan parti malah mengecewakan cita - cita rakyat ingin melihat Bn tumbang di Putrajaya. Malah Negeri Sembilan sendiri ketika PRU lepas peluang untuk membebaskan Negeri Sembilan dari cengkaman Bn cukup baik namun ia digagalkan sebahagian besarnya kerana rundingan kerusi dan pemilihan calon yang gagal.
tulisan oleh ; che'GuBard (anggota biasa Parti Keadilan Rakyat)
BACA LAGI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan