22 Ogos 2013

TRAGEDI GENTING ! CUKUP DENGAN RETORIK, AGENSI PENGUATKUASA TIDAK BERMAYA?

Tragedi Genting: Sudah terhantuk baru terngadah



[ULASAN] Sebaik sahaja tragedi bas yang meragut 37 nyawa menjadi tajuk utama berita dunia semalam, reaksi yang sudah dijangka daripada pemimpin-pemimpin kerajaan cepat menyusul.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan menyiasat kemalangan jalan raya yang paling dashyat dalam sejarah negara “sehingga ke lubang cacing.”


Ada baiknya jika siasatan yang dijanji itu bermula dengan mengenal pasti punca bas maut itu masih boleh beroperasi walaupun ia sudah disenaraihitam oleh JPJ.

Media melaporkan bahawa bas itu memang dalam keadaan usang dan mengikut saksi yang terselamat, brek kenderaan itu tidak berfungsi, menyebabkan pemandu hilang kawalan.

Adalah diharapkan pemerintah tidak cepat melenting sekali lagi tentang sikap alpa pengguna jalan raya apabila mengulas tragedi menyayatkan di Genting Highlands.

Masalah kecuaian pemandu dan kenderaan-kenderaan “nazak” di jalan raya berkait rapat dengan penguatkuasaan longlai, longgar dan sambil lewa yang semakin memburuk dengan peredaran masa.

Petunjuk jelas kepada fenomena ini adalah kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa 1.7 juta pengguna jalan raya tidak menjelaskan saman pelbagai kesalahan jalan raya.

Begitu ramai orang mengambil sikap begitu mudah terhadap saman, malah tidak keberatan menjadi pesalah berulang atau repeat offender.Sikap ambil mudah ini mempunyai akar umbi daripada ketiadaan sebarang tindakan tegas oleh pihak berkenaan.


Ia mencerminkan agensi penguatkuasa, baik polis, JPJ mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai tidak bermaya dalam mengambil tindakan tegas yang dituntut.

Cadangan Khalid untuk menggantung lesen pemandu kenderaan komersil dan pengguna motorsikal yang melakukan kesalahan berulang kali sepatutnya dilaksanakan secepat mungkin.?

Namun penggubalan undang-undang sehebat mana pun tidak bererti jika aspek penguatkuasaan terus dipinggirkan.Polis trafik dan JPJ sudah lama dibelenggu dengan masalah kredibiliti daripada segi kesungguhan untuk menguatkuasakan undang-undang.

 
Mereka sering, (kadang-kala secara tidak adil) dikaitkan dengan ungkapan duit kopi dan sebagainya.

Kemalangan yang mengorbankan 37 nyawa di Genting Highland tidak boleh disalahkan kepada sambutan Hungry Ghost Festival atau pesta hantu lapar seperti yang digembar-gemburkan dalam beberapa blog.

“Siasatan sehingga ke lubang cacing” seperti yang dijanjikan oleh Hishamuddin harus berpaksi kepada sikap muhasabah dan keinginan untuk memperkuatkan aspek penguatkuasaan undang-undang jalanraya.

Cukup dengan retorik. Kini masa untuk bertindak.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan