Polis Belum Dapat Kaitkan Kematian Patrick Wong Dengan Isu Pasir
KUALA LUMPUR: Siasatan polis setakat ini tidak dapat mengaitkan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong Kie Yik dengan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.
Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar meminta penulis blog Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa Wong mati di tangan pembunuh upahan dan bukan akibat rompakan, agar mengemukakan bukti bagi membantu siasatan polis.
"Setakat ini siasatan tidak menunjukkan kes (kematian) itu ada kaitan dengan isu pasir di Selangor," katanya ketika mengulas artikel bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan Raja Petra menerusi portal Malaysia Today.
Khalid berkata sehingga kini, polis telah menahan dan menyoal siasat seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tiga lelaki bersenjata menceroboh kediaman Wong di Bukit Bandaraya, Bangsar pada 19 Nov 2009 serta menyebabkan Wong terjatuh dari tingkat dua kediamannya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul di Bukit Aman, di sini Jumaat, beliau berkata lelaki itu kini ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor kerana menyamun dan polis belum mempunyai bukti cukup untuk mendakwanya di mahkamah.
"Kita masih lagi mencari dua lagi suspek yang terbabit di dalam kes itu," katanya.
Menerusi artikel itu, Raja Petra membangkitkan persoalan berhubung kematian Wong, dan mendakwa ahli pernigaaan tersebut mengumpulkan maklumat mengenai skandal perlombongan pasir di Selangor sejak beberapa tahun sebelum kematiannya.
Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kes kematian Wong diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi.
"Jika ada maklumat baru yang ada dapat tunjukkan kes itu berkait maka bagi maklumat dan polis sedia siasat," kata Khalid yang turut menyifatkan tindakan pihak tertentu membuat dakwaan berdasarkan andaian sebagai tidak wajar kerana hanya menyukarkan siasatan polis yang memerlukan bukti kukuh. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan