10 Februari 2012

Isu pasir: SPRM sudahpun siasat saya tahun 2010, kata ADUN PKR

ADUN Batu Caves Amirudin Shaari berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telahpun menyoal-siasatnya mengenai dakwaan hubungannya dengan sindiket perlombongan pasir haram pada tahun 2010.

Mengulas isu itu yang dibangkitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Amirudin berkata badan anti-rasuah itu tidak memintanya untuk kembali sejak beliau disiasat pada 2010.

"Ini isu lama. Saya berikan kenyataan saya kepada SPRM pada Julai 2010 mengenai surat sokongan yang dikeluarkan. Apabila saya bertanya kepada mereka apakah saya perlu kembali mereka berkata, 'Jika mahu, boleh tetapi kita mempunyai kes lain untuk disiasat '.

"Mereka tidak hubungi saya sejak itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.
Dalam blog terbarunya, Raja Petra menuduh Amirudin dan ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafie terbabit dalam rasuah perlombongan pasir yang melibatkan syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Raja Petra mendakwa kedua-dua wakil rakyat PKR itu adalah pengarah syarikat berkenaan dan menerima elaun bulanan sebanyak RM5, 000.

Beliau juga memuat-naikkan satu salinan surat dari Amirudin kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) - syarikat kerajaan negeri Selangor yang mengendalikan perlombongan pasir di negeri itu - untuk menyokong permohonan Double Dignity bagi mendapatkan kontrak perlombongan pasir.

"Tetapi jika anda lihat dokumen yang Raja Petra 'dedahkan' itu, ia jelas menunjukkan bahawa saya kata saya beri sokongan terhadap permohonan selagi ia mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditetapkan. Saya jelas tentang itu.

"Saya tidak tolak permohonan rakyat apabila mereka minta surat sokongan dan amalan Pakatan Rakyat adalah untuk menyatakan bahawa sokongan adalah dengan syarat bahawa semua prosedur dipatuhi. Ada juga yang permohonan mereka ditolak walaupun berserta surat saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan