14 Oktober 2011

Langkah mayat kami dahulu, Malaysiakini.

Adakah Malaysiakini dijual pada Umno?
Steven Gan

Apabila kami melancarkan Malaysiakini 11 tahun lalu, kami sedar bahawa sukar untuk laman web yang masih bertatih untuk memberikan sebarang kesan politik. Pengguna Internet masih sedikit, malah modem 56k ketika itu juga tidak membantu.

Kami salah.

Memberikan dampak politik kerja mudah. Hanya segelintir wartawan pada masa itu berani bertegas terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus menjadikan kami menonjol.

Yang sukar, untuk memastikan kewangan Malaysiakini selesa. Apabila keghairahan dot.com tiba-tiba mengendur - dua tahun selepas kami beroperasi - hakikat ini jadi lebih jelas: Malaysiakini tidak dapat bergantung kepada iklan semata-mata.

Keputusan untuk memperkenalkan langganan memang sukar dibuat. Semua orang berkata kami akan gagal. Benar, siapa sanggup membayar untuk kandungan Internet? Kami keseorangan. Tiada yang akan menghulur tangan. Kami harus membina teknologi pembayaran dari kosong.

Tetapi kami tiada pilihan. Pada 16 Ogos 2002 - hari pertama langganan diperkenal - kami menulis rayuan ini:

"Tiada laman berita dalam talian terbukti bertahan. Yang paling berjaya, laman pelengkap kepada versi cetak, yang mendukungnya. Hanya sedikit benar-benar berbentuk dalam talian. Sebahagian besarnya masih sangat tidak stabil.

"Perkara itu meletakkan kami dalam keadaan Hobson's choice atau pilihan tunggal: Kunci laman ini dan hadapi kemungkinan hilang pembaca - dan masih tiada jaminan bertahan - atau terus pastikan Malaysiakini boleh dilayari secara percuma sehingga merempuh jalan mati.

"Wartawan di Malaysiakini sudah membuat pilihan. Seterusnya kami kini serahkan kepada pembaca untuk membuat pilihan mereka."

Dan pembaca yang budiman membuat pilihan. Ramai yang mendukung Malaysiakini mendermakan sejumlah kecil wang setiap bulan untuk membolehkan kami terus membuat liputan - dengan cara sederhana tetapi berpengaruh - resah gelisah politik dalam negara.

Berdepan gergasi sejagat

Kandungan bukan segala-galanya. Tetapi teknologi.

Pembekal kandungan - akhbar, televisyen dan stesen radio - menghadapi masalah di merata-rata tempat. Hanya syarikat telekomunikasi dan teknologi meraih ganjaran dari Internet.

Apabila pengiklanan dalam talian mula rancak, ruang maya menyediakan cabaran amat berbeza kepada pembekal maklumat.

Pengiklan tidak lagi bergantung kepada kewartawanan untuk mencuri tumpuan dengan cara yang sama dengan media lama, dan mereka tidak bergantung kepada laman tempatan untuk melaksanakan tugas itu. Pesaing kita untuk lubuk pengiklanan, antara lain, gergasi besar sejagat.

Malah, tiada satu pun daripada empat syarikat gergasi dalam talian - Google, Microsoft, Facebook dan Yahoo - merupakan syarikat media. Mereka dan 45 lagi menguasai lebih 95 peratus pasaran pengiklanan dalam talian di seluruh dunia.

Semua di luar lingkaran elit ini menghadapi persaingan sengit untuk sejumlah wang yang tidak sebanyak mana. Malaysiakini, sama ada suka atau tidak, berdepan dengan gergasi seperti Google.

Oleh itu, hakikat pahit bahawa langganan ialah satu cara - dan untuk sekarang, mungkin jalan tunggal - untuk menyokong media bebas.

Ini menjelaskan kenapa, harian bebas berbahasa Cina Merdeka Review, dengan bantuan Malaysiakini, beralih kepada langganan bulan ini. Tanpa langkah ini, Merdeka Review, mahu tidak mahu, terpaksa bergelut untuk terus beroperasi.

Dan untuk memastikan padang permainan sama rata, Malayiakini versi bahasa Cina - yang percuma sejak dilancarkan pada 2005 - juga memulakan langganan.

Pelbagai sumber pendapatan

Kami berulang kali menegaskan - media bebas memerlukan kebebasan kewangan. Perlu kami tegaskan lagi - kita sedang merintis langkah untuk memastikan nasib kebebasan media.

Kegagalan kami untuk memastikan model langganan ini berjaya bermakna masa depan media dalam talian bebas makin pudar.

Tetapi untuk menjadi benar-benar bebas, laman berita perlu bergantung kepada pelbagai sumber pendapatan. Untuk itu, Malaysiakini kini mengintai peluang melampaui langganan dan pengiklanan untuk mendanai operasi.

Antaranya, tambahan sumber pendapatan melalui jualan kandungan. Awal tahun ini, kami menandatangani perjanjian dengan Yahoo!, membenarkan enjian carian itu memuatkan kembali kandungan Malaysiakini dengan sejumlah bayaran.

Sementara itu, sudah diketahui umum bahawa Malay Mail akan dilancarkan semula sebagai harian pagi dan bukan lagi akhbar percuma edisi petang. Untuk itu, ia mendekati beberapa pemain dalam talian, blog dan agensi berita antarabangsa untuk mendapatkan kandungannya, Malaysiakini tidak terkecuali.

Jadi, ia benar-benar mengejutkan kami apabila perbincangan tentang kandungan - dan masih jauh untuk sebarang kata sepakat - diputar belit oleh beberapa laman berita menjadi isu pertukaran kandungan demi saham.

Biar kami tegaskan - kami tiada sebarang niat untuk memiliki sebarang saham dalam Malay Mail atau menyerahkan pemilikan dalam Malaysiakini.

Bagaimanapun, untuk menjual kandungannya - yang membolehkan Malaysiakini terus memberikan perkhidmatan lebih baik dan untuk sampai kepada lebih banyak pembaca - menjadi perniagaan dan kewartawanan yang baik.

Lebih-lebih lagi, menjual kandungan tidak menjejaskan pendirian editorial kami. Pengguna kandungan kami tiada sebarang suara dalam sidang pengarang - ambil atau tinggalkan saja. Mereka juga tidak dibenarkan mengubah kandungan yang disiarkan.

Kami terkejut apabila pesaing kami gagal faham ekonomi ini. Tetapi, sekali lagi, mungkin mereka tidak perlu bimbang masalah wang kerana mendapatnya daripada suatu tempat.

Jadi, adakah Malaysiakini akan jatuh ke tangan Umno? Langkah mayat kami dahulu.

Dan kami katakan ini bukan saja pada Umno, tapi juga MCA, MIC, PAS, PKR dan DAP. Parti politik tiada urusan untuk memiliki media, dan wartawan tiada urusan untuk membuat perjanjian sebegini dengan ahli politik.

Ini prinsip yang kami sanjung di Malaysiakini, dan secara sudah payah mempertahankannya sejak sedekad lalu. Kami tidak akan mengetepikannya untuk apa pun. Walaupun dengan longgokan wang ringgit.-Mk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan