PRN Sarawak – Mampukah PR Menang?
April 6, 2011
Oleh: Cyberboron
Tempur rasmi gelanggang politik Sarawak bermula pagi ini, Rabu 6 April 2011 dengan proses penamaan calon di 71 kawasan DUN merangkumi keluasan 124,450 kilometer persegi Bumi Kenyalang.
Siapa yang boleh menang? Parti mana yang akan menang? PBB, PKR, SUPP, DAP, SNAP, PAS, PRS, SPDP, PERS? Gabungan mana yang akan membentuk kerajaan, BN atau PR? Jawabnya, apa pun boleh berlaku. Segalanya mungkin. Namun secara jujur wajar diakui bahawa BN masih kelihatan mampu untuk berada di depan @ boleh menang. Pakatan Rakyat ada harapan tambah kerusi berbanding 7 yang dimiliki hasil PRN 9 (6 DAP dan 1 PKR). Angka 36 (kerusi) untuk membolehkan pembentukan kerajaan dengan majoriti mudah (36:35) masih sangat ajaib untuk diraih oleh PR walau pun tidak mustahil. Semuanya bergantung kepada seribu satu macam latar belakang dan perkembangan.
Calon-calon bebas atau yang mewakili parti bukan BN dan bukan PR juga masih ada upaya mencipta kemenangan berdasarkan rekod politik Sarawak. Kalau menang, calon bebas atau calon parti bukan BN/PR ini masih berupaya mencipta pelbagai kejutan terutamanya jika penguasaan BN-PR hampir seimbang.
Mampukah ‘isu’ mempengaruhi penentuan sikap pengundi Sarawak? Apakah rakyat Sarawak ‘peduli’? Berkesankah pendedahan kekayaan keluarga Taib Mahmud? Mampukah video seks trio T membuahkan kebencian pengundi terhadap Anwar dan PKR? Ada banyak lagi isu yang dimainkan sejak setahun lalu. Isu tanah adat. Isu ‘al-kitab’ Bible Bahasa Melayu. Isu pengganti Taib. Isu Effendi Norwawi vs Adenan Satem. Isu bini Taib Mahmud, dulu Poland sekarang Lubnan. Isu kemudahan asas yang sangat teruk di 9/10 keluasan Bumi Kenyalang berbanding kekayaan hasil bumi yang ada. Dan macam-macam lagi.
Kaji selidik, penelitian dan pemerhatian yang dibuat oleh pelbagai pihak menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sarawak ‘tak peduli’ terhadap isu yang melatarbelakangi persaingan antara parti-parti politik (khususnya antara BN dan PR). Mereka tak peduli sama ada keluarga Taib benar-benar kaya atau tidak. Mereka tak mahu tahu sama ada kekayaan itu hasil korupsi dan salah guna kuasa atau ia diperolehi secara halal dan bersih. Mereka tak heran pun pada kegagalan rundingan antara PKR dengan SNAP. Isu video Trio T langsung tak laku. Mereka tak berminat nak ambil tahu siapa yang akan jadi Ketua Menteri baru. Taib nak kahwin dengan spesis X dari planet Nibiru pun mereka tak peduli. Orang Beting Maro tak mahu tahu apa yang berlaku pada orang Limbang. Orang Mukah tak peduli nasib orang Belaga.
Isu ekonomi, kewangan, integriti, keperibadian pemimpin, kesaksamaan hak, korupsi, salah guna kuasa, bahaya nuclear, profesionalisme polis serta lain-lain isu nasional dan sejagat hanya boleh dihadam oleh kelompok khas dan kecil merangkumi tak lebih daripada 15 peratus pengundi Sarawak kelas menengah di kawasan bandar dan yang berdekatan dengannya. Ini adalah realiti.
Pengundi kaum Tionghua (Cina) boleh berdiskusi tentang politik yang menyangkut aktiviti kehidupan mereka terutama isu peluang dan kemudahan berkaitan ekonomi. Pengundi beragama Kristian yang ada latar belakang pendidikan boleh diajak berbincang tentang double standard BN dalam isu Kalimah Allah dan Bible Melayu. Hanya tak lebih daripada sepuluh peratus orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain peribumi Sarawak yang mahu berbincang tentang hak-hak mereka khususnya berkaitan tanah adat. Orang Melayu dan Melanau pun masih rendah tahap minat mereka untuk terlibat dengan diskusi politik.
Persoalan tahap ‘celik’ dan ‘peduli’ politik ini merupakan sudut penting yang sepatutnya diambil kira oleh parti politik dan mana-mana pihak yang mahu membina, mengukuh atau merobah kesedaran politik Bumi Kenyalang. Seterusnya rumusan daripada fakta berkaitan kecelikan dan kepedulian ini hendaklah dijadikan asas bagi penetapan langkah dan strategi. Hanya kaedah ini yang mampu menghasilkan pendekatan yang berkesan dan boleh diukur pencapaiannya. Tetapi ini cerita kerja dan langkah jangka panjang. Kalau hari ini belum wujud strategi berasaskan perkiraan ‘tahap peduli’ ini maka ia tak akan sempat di’set-up’ untuk memenangi pertempuran 16 April 2011. Carilah kaedah lain.
Untuk tempoh 10 hari menjelang pengundian pada 16 April ini, BN memiliki kelebihan dalam segala hal yang bersangkutan dengan peluang mempengaruhi kecenderungan pengundi. Mereka ada segala-galanya. Salah guna jentera kerajaan (pusat dan negeri). Penguasaan media elektronik dan cetak. Rasuah pengundi empat lima puluh ringgit. Rasuah ketua kelompok masyarakat empat lima ratus ringgit. Ugut pengundi. Kalau tak sokong BN, nanti tak dapat itu ini. Tarik balik itu ini. Putar belit segala macam. PR parti penjajah semenanjung. PBB kepunyaan orang Sarawak. Anwar nak kaut kekayaan Sarawak untuk dibawa ke semenanjung.
BN ada rangkaian kempen yang lengkap strukturnya hingga ke segenap pelusuk dan ceruk Sarawak sama ada melalui unit-unit organisasi parti (negeri – bahagian – cawangan) atau melalui unit-unit pentadbiran kerajaan (jabatan peringkat negeri – bahagian – daerah – daerah kecil – kampung). Dalam konteks Sarawak, tak ramai anak kampung yang berani menyanggah ketua kampung masing-masing. Seterusnya, ketua kampung akur kepada arahan atau permintaan pegawai kerajaan yang mentadbir mereka di peringkat Daerah Kecil. Aliran kepatuhan ini membawa ke peringkat Daerah, Bahagian dan kemuncaknya di peringkat Negeri. Akur dan patuh melalui aliran pentadbiran kerajaan ini bukan saja dalam urusan ‘pentadbiran’ malah telah dimanupulasi dengan jayanya untuk maksud politik BN sejak sekian lama. Beginilah Sarawak dan politik Sarawak setakat hari ini. inilah realiti Sarawak.
Maka apa ruang yang ada untuk Pakatan Rakyat dan apakah ada peluang untuk menang? Jawabnya, ada peluang tetapi tipis. Bukan mustahil menumbangkan BN tetapi memerlukan keajaiban. Rukun utamanya ialah melangkah berasaskan realiti. Berdiri di atas fakta. Be real. Mensasarkan senjata tepat ke sasaran. Jangan tipu diri sendiri. Berceramahlah dalam keadaan sedar bahawa ribuan kajian profesional membuktikan bahawa hasil ceramah sebenarnya sangat sedikit. Mainkanlah isu asalkan jangan hanya syok sendiri. Diraikan tidak semestinya bermaksud disukai. Gah penampilan dengan pengiring berbondong-bondong sebenarnya merimaskan dan menakutkan pengundi.
Logiknya PR masih mampu buat kejutan. Ramai pemimpin dan petugas PR dari luar Sarawak telah berkampung di kawasan DUN tanggungjawab masing-masing. Sekiranya semua petugas benar-benar ‘turun padang’ bertemu pengundi secara peribadi dengan pendekatan santai yang menyentuh hati, perbincangan ‘tak memaksa’ yang mampu menggetarkan minda, pertemuan eksklusif tertutup yang tak disedari oleh lawan dan kawan ‘si dia’ yang dikunjungi serta penghujahan secara tidak ‘membodohkan’ sasaran, insyaallah akan ada hasil yang memberangsangkan.
Secara kasar bolehlah dikatakan purata pengundi bagi satu kawasan DUN ialah 10,000. Peratus keluar mengundi paling tinggi ialah sekitar 80% atau 8000 pengundi. Kalau dapat lebih sedikit daripada 4000 undi dah boleh menang. Kalau ada 30 petugas di satu kawasan DUN, setiap seorang perlu mengunjungi tak kurang daripada 133 pengundi untuk mendapatkan angka 4000 ++. Masa ada 10 hari. Tolak 2 hari yang terakhir untuk susulan dan langkah khas, maka hanya ada 8 hari untuk berkunjung. Seorang petugas perlu bertemu tak kurang daripada 17 pengundi dalam satu hari untuk mencapai sasaran. 8 hari darab 17 pengundi = 136. Hasilnya, 30 petugas darab 136 pengundi = 4080 pengundi. Zon menang boleh dicapai.
Mampukah seorang petugas mengunjungi 17 pengundi sehari? Kalau masa yang diperlukan untuk menyempurnakan maksud satu kunjungan ialah 1 jam, maka 17 pengundi memerlukan 17 jam. Tak cukup masa. Tetapi, berdasarkan purata 25% pengundi adalah yang berumur di bawah 35 tahun, maka bolehlah dikatakan ¾ daripada jumlah pengundi adalah pasangan suami isteri. ¾ daripada 17 ialah 12.75 atau sekurang-kurangnya 6 pasangan suami isteri. Ini bermakna jumlah kunjungan yang perlu dibuat ialah 11 kunjungan (6 pasangan + 5 pengundi belum berkahwin). Sebahagian daripada 5 pengundi yang belum berkahwin itu pula mungkin merupakan anak kepada 6 pasangan suami isteri tersebut. Jika demikian, jumlah kunjungan semakin kurang. Ringkasnya, bolehlah dikatakan seorang petugas hanya perlu membuat 9 kunjungan sehari. 9 kunjungan, 9 jam.
Rumusannya, misi ini mampu dilaksanakan. Namun begitu ia tidaklah semudah ayat matematik yang dihuraikan. Beberapa perkara dan persediaan asas perlu dibuat untuk menghasilkan rangka kerja yang mampu dilaksanakan dan boleh mencapai objektif.
Lontaran buah fikir dalam tulisan ini hanya satu daripada entah berapa ratus idea yang boleh dilaksanakan untuk mencapai kemenangan. Struktur idea dan angka-angka yang dikemukakan adalah sekadar contoh untuk menerangkan konsep dan logik di sebalik idea. Wallahu a’lam.
Masa yang ada hanyalah sepuluh hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan