06 April 2011

MSK: Muncul kembali di Sarawak

Selamat Datang ke Sarawak
April 6, 2011
Oleh: MSK

Apabila Albanjari menghubungi aku dua hari lepas dan mengajak ke Sarawak…aku tak tau sama ada nak terima atau tidak. Bukan sebab nak jual mahal…tapi aku nak buat apa?
Nak buat propaganda…aku tak tau.

Nak cerita apa yang berlaku…aku dah terputus hubungan dengan member-member PKR sejak dua bulan lalu. Kalau ada cerita yang baik, aku tak tau. Yang aku banyak tau…cerita tak berapa bagus. Ini yang buat aku serba salah. Tambahan pula, kos untuk ke Sarawak adalah melalui sumbangan penyokong Pakatan Rakyat.

Aku bagi tau kat Albanjari…aku akan tulis tentang apa yang aku tau, apa yang aku dengar dan apa yang aku baca. Sama ada ianya dipersetujui oleh penyokong Pakatan Rakyat…itu bukan soal aku. Albanjari setuju.

Mengapa aku setuju untuk datang ke Sarawak dan mengapa aku tak mau terikat dengan arahan…adalah kerana Pilihanraya Sarawak 2011 mempunyai pelbagai keistimewaan. Ia mempunyai pelbagai elemen politik yang bakal mewarnai Pilihanraya Umum yang akan datang.

Elemen pertama ialah Kuasa Ketiga. Ada yang mengatakan Kuasa Pengacau. Ada juga yang mengatakan kumpulan “Katak”.
Dalam konteks Sarawak, SNAP menjadi Kuasa Ketiga yang mewarnai politik Sarawak. Ada yang mengatakan SNAP sebagai ‘pengacau’, Trojan Horse, ejen BN…bagi la apa nama pun. Tetapi hakikatnya, SNAP boleh menjadi kawan atau lawan. Bergantung kepada sejauh mana kemampuan Pakatan untuk ‘menawan’ SNAP.

Tetapi akhirnya, Pakatan Rakyat yang di ‘pimpin’ oleh PKR telah gagal untuk ‘menawan’ SNAP. Dan kesan daripada kegagalan inilah yang menarik minat aku untuk datang ke Sarawak untuk melihat sejauh mana kesan kegagalan ini.
Elemen kedua ialah kekuatan individu yang mampu menyaingi kekuatan parti. Kegagalan mengenalpasti kekuatan individu ini mampu menggagalkan peluang Pakatan Rakyat untuk mencipta kejutan dalan Pilihanraya Sarawak ini.

Setakat ini, parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan BN telah pun mengumumkan calon masing-masing. Tetapi calon SNAP dan Bebas hanya akan diketahui selepas Penamaan Calon esok. Setakat ini, Dominique Ng dari PKR telah pun mengisytiharkan untuk bertanding sebagai calon Bebas. Mungkin esok, kita akan melihat lebih ramai calon Bebas yang akan bertanding.

Elemen ketiga ialah kecenderungan pengundi muda. Masih belum jelas, arah manakah yang akan diambil oleh pengundi-pengundi muda ini.
Elemen keempat ialah isu-isu yang mampu mengubah persepsi pengundi. Setakat tinjauan rambang yang diperolehi melalui pemandu teksi dan pengusaha restoran, isu-isu tempatan akan menjadi modal utama. Pun begitu, isu-isu ini hanya boleh digunakan ditempat-tempat tertentu.

Pilihanraya Sarawak masih lagi dingin setakat ini. Bandar Kuching masih lagi tenang seperti biasa. Langsung tiada kelihatan tanda-tanda Pilihanraya akan berlaku. Yang sibuk hanyalah di lapangan terbang Kucing yang menyaksikan kehadiran kepimpinan-kepimpinan parti dari Semenanjung yang mulai tiba sejak dua-tiga hari lalu.
Setakat ini, PKR telah menyatakan untuk bertanding 48 kerusi, DAP 15 kerusi, Pas 5 kerusi dan 3 kerusi yang di ‘serahkan’ kepada SNAP. Itu hanyalah jumlah yang diumumkan. Apa yang akan berlaku esok mungkin jauh berbeza.
SNAP mungkin akan bertanding sekitar 30 kerusi. Dan Bebas dianggarkan meletakkan Calon disekitar 8-10 DUN. Ini tidak termasuk dari Parti Cinta Malaysia yang dijangka meletakkan sekitar 5-10 calon.

Akhirnya, Pilihanraya Sarawak akan diwarnai dengan pertandingan pelbagai penjuru dan ini sudah pasti akan menyukarkan peluang Pakatan Rakyat untuk melihat satu perubahan besar dalam pemerintahan di negeri ini.
Politik Sarawak jauh berbeza dengan politik Semenanjung. mungkin ada yang mengatakan pengundi Sarawak masih belum matang. Ada yang mengatakan ahli politik Sarawak tidak setia kepada parti. Tapi itu adalah hakikat.

Politik Sarawak diwarnai oleh politik ‘warlord’. Kekuatan individu menjadi kayu pengukur utama untuk kemenangan. Agenda parti dan ideologi bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan sandaran untuk menang.

Aku masih lagi meneliti calon-calon yang akan bertanding dan perlukan masa dua tiga hari ini untuk menilai sejauh mana kekuatan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan.

http://www.malaysiatimes.my/ portal terbaru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan