25 April 2015

TUN M TERUS MENGHENTAM KEHIDUPAN MEWAH DIPAMERKAN NAJIB

Dr M bidas perkahwinan mewah anak Najib, persoal rombongan ke Kazakhstan



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu kehidupan mewah yang dipamerkan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikannya terhadap sikap bermewah Datuk Seri Najib Razak dengan membangkitkan perkahwinan anak perempuan perdana menteri yang berlangsung baru-baru ini.

Dr Mahathir membuat perbandingan dengan majlis perkahwinan lima anaknya, sambil memperli Najib dengan mengadakan perkahwinan mewah yang dianggap sebagai "perkahwinan abad ini".

"Siapa di sini ingat tentang perkahwinan anak saya 5 orang?

"Siapa pun tidak tahu, pasal saya ini kedekut, tidak panggil banyak orang. Tak ada duit nak belanja.

“Ini bukan main. Perkahwinan abad ini (the marriage of century), bukan tahun ini," kata Dr Mahathir di hadapan kira-kira 1,000 orang ramai yang hadir pads forum Bicara Negarawan di Kelab K, Taman Melawati, Selangor hari ini.

Dr Mahathir juga mempersoalkan keperluan Najib yang membawa kira-kira 300 orang bersama dalam rombongan majlis perkahwinan yang diadakan di Kazakhstan.

"Bila ke Kazakhstan dengan 300 orang tidak ada laporan media, biasalah media arus perdana tidak lapor benda itu.

“Tapi ada bertandang ke Kazakhstan kita tidak tahu, kenduri di Pekan kita tahu tapi di Kazakshtan ini siapa dia yang pergi ini?

"Benda macam ini tidak menjadikan seseorang sebagai seorang pemimpin," katanya.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkahwin dengan Daniyar Kessibayev pada 19 Mac lalu di Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis yang diadakan di beberapa lokasi mendapat perhatian ramai kerana diadakan secara besar-besaran dan mewah, malah gambar juga semasa majlis tersebut juga tersebar meluas walaupun tetamu yang hadir dilarang mengambil gambar.

Kritikan ini bukan kali pertama, Dr Mahathir sebelum ini juga menjadikan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai sasaran kritikan.

Kali ini, beliau mensasarkan kritikan tersebut terhadap isu yang sering menjadi bahan politik seteru Najib dari Pakatan Rakyat (PR), iaitu dakwaan gaya hidup mewah Rosmah.

"Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.

"Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir dalam tulisan di blognya.

Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa sejak kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu artikel New York Times edisi Februari dan dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Memaparkan invois dan dokumen lain sebagai bukti pembelian barang kemas yang dibeli Rosmah, laporan itu menuntut respons daripada Pejabat Perdana Menteri dan menerima jawapan berbunyi: "Tiada sebarang duit yang dihabiskan untuk berjalan atau membeli barang kemas, atau simpanan dalam peti besi yang didakwa, yang di luar kebiasaan bagi seorang yang berada pada posisi perdana menteri, dengan tanggungjawab dan harta legasi keluarganya."

Terbaru, majalah Indonesia, Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti yang dilaporkan New York Times. ~SUMBER

2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  2. Terima kasih blog admin krn prihatin kpd ulasan sblm ini berkaitan judi / no ekor
    👍👍👍👍

    BalasPadam