Penggantungan sementara program subsidi beras Super Tempatan (ST) 15 seperti dicadangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menjejaskan lebih 300,000 keluarga dan 15,000 peruncit di seluruh negara, kata Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang.
Beliau berkata program itu perlu diteruskan dan pihaknya sedia bertemu dengan PAC untuk berbincang berhubung perkara itu termasuk untuk penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
"Kenyataan PAC adalah tidak tepat sepenuhnya kerana program ini memang sampai kepada kumpulan sasar terutamanya golongan memerlukan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jangan kerana seekor nyamuk masuk, kelambu pula dibakar. Sepatutnya kalau ada kepincangan duduk berbincang dengan kami, kementerian dan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) untuk kita cari puncanya," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Dua hari lepas, PAC meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar menggantung sementara program subsidi beras ST15 memandangkan program itu tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata program itu boleh diteruskan apabila kementerian terbabit mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) baru bagi memastikan program subsidi itu dinikmati golongan sepatutnya.
Mengulas mengenai perkara itu, Ismail yang mewakili lebih 200 anggota BARIM berkata terdapat jawatankuasa kawal selia padi beras di bawah kementerian yang memantau pemborong.
"Pemborong ada surat akujanji dan mana-mana pemborong yang melanggar akujanji itu boleh digantung lesen.
Pemborong juga perlu memberi laporan setiap bulan kepada jawatankuasa kawal selia di setiap negeri atau cawangan mengenai ke mana beras itu dihantar," jelasnya.
Sejak program itu diperkenalkan lapan tahun lepas, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan sebanyak RM528 juta untuk diagihkan kepada 895 pemborong beras seluruh negara.
Ketika ini kuota beras ST15 untuk Semenanjung adalah sebanyak 40,000 tan metrik sebulan manakala 20,000 tan metrik diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan