Beliau berkata, tarif elektrik yang kekal tinggi dan tidak turun-turun walaupun harga minyak menjunam juga menyebabkan peniaga tidak menurunkan harga barang.
"Kerajaan menyalahkan peniaga atas inflasi yang berlaku, hakikatnya penawaran adalah melebihi permintaan pada masa ini.
"Peniaga pun tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap pasaran," katanya kepada Sinchew Daily.
Kok Cheong menjelaskan, kerajaan pada separuh penggal pertama 2014 menaikkan tarif elektrik sebanyak 16 peratus.
Katanya, kerajaan bagaimanapun tidak menurunkan tarif elektrik pada ketika harga gas asli, minyak mentah dan arang menjunam pada separuh penggal kedua 2014 sekali gus membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaut keuntungan besar.
"Kerajaan perlu menurunkan tarif elektrik dengan segera, dengan ini sahaja dapat menurunkan kos operasi.
"Sektor pembuatan, perkhidmatan dan makanan juga akan menurunkan harga jualan produk selepas itu," katanya.
Menurutnya, pengusaha pengangkutan pada masa yang sama juga perlu menurunkan bayaran yang dikenakan.
"Hanya dengan ini, harga minyak yang rendah pada masa ini dapat menyumbang kepada penurunan harga barang," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perindustrian Kecil Sederhana Malaysia, Teh Kee Sin berkata, kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu menjadi perintis dengan menurunkan harga jualan untuk perkhidmatan dan produk mereka.
"Sebagai contoh, TNB perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menurunkan tarif elektrik.
"Teladan yang ditunjukkan akan menjadi ikutan peniaga lain," katanya.
Khairy Minta TNB Turun Tarif Elektrik
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak pada masa ini.
Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata demikian dalam status terkini yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.
"Pada masa yang sama, mungkin TNB juga perlu pertimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik. Sebab hari itu mereka minta Jemaah Menteri naikkan tarif sebab input kos bahan bakar naik. Sekarang dah turun," katanya.
Dalam status yang sama, Khairy berkata dalam keadaan harga minyak menurun, pengguna harus memainkan peranan dan menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.
"Saya rasa mesej yang penting ialah kuasa pengguna. Use your power as consumers(Gunakan kuasa anda sebagai pengguna). Engage with consumer groups and activists(Jalin kerjasama dengan kumpulan dan aktivis pengguna). Name and shame traders that charge exorbitant prices on social media (Siarkan nama dan malukan peniaga yang mengenakan harga tinggi di media sosial)," katanya.
Khairy berkata beliau telah mengarahkan Biro Kualiti Hidup Pemuda Umno untuk menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan berkaitan kepenggunaan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang kuasa mereka sebagai pengguna.
Katanya Pemuda Umno juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengenal pasti kedai-kedai yang menjual barang pada harga yang adil dan berpatutan.
"Kedai-kedai ini akan diiktiraf sebagai fair price shops di bawah KPDNKK dan akan dipromosikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan