JPJ Perlis Buka Nombor ‘RM’, Jangka Terima Bidaan Lebih RM2J
Seorang pelanggan Sia Tiong Ming, 56, memasukkan borang tender nombor pendaftaran kenderaan siri 'RM' ke dalam peti tender ketika tinjauan fotoBERNAMA ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri dekat Kangar, hari ini. - Foto BERNAMA
KANGAR – Seorang kontraktor sanggup datang dari Muar, Johor semata-mata untuk membida nombor pendaftaran ‘RM’ yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis di sini, hari ini.
Sia Tiong Ming, 56, berkata beliau memperuntukkan RM100,000 semata-mata untuk mendapatkan nombor idamannya.
Beliau nampaknya tidak kisah beratur panjang untuk mendapatkan borang dan mengemukakan bidaan.
“Huruf RM membawa maksud Ringgit Malaysia, istimewa bagi saya dan mesti dimiliki.
“Untuk itu saya membida satu nombor yang sama bagi dua digit, tiga digit dan empat digit (nombor kahwin),” katanya semasa ditemui selepas mengemukakan bidaannya.
Seperti pembida lain, Tiong Ming merahsiakan nilai bidaannya.
Katanya beliau pernah membeli nombor sama untuk pendaftaran negeri Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kontraktor itu berkata, ‘mengumpul’ nombor pendaftaran menarik adalah hobinya.
Beliau sanggup membeli kenderaan baru untuk nombor pendaftaran yang dimenanginya dalam bidaan.
Pengarah JPJ Perlis, Zulhasmi Mohamad yang ditemui di pejabatnya berkata JPJ menjangka bidaan untuk nombor pendaftaran RM akan meningkat berbanding nombor pendaftaran sebelum ini.
Katanya JPJ Perlis pernah menerima bidaan sebanyak 1,797 bernilai lebih RM2 juta, tertinggi setakat ini.
Namun beliau menjangka bidaan untuk nombor RM akan jauh lebih tinggi.
Zulhasmi berkata bidaan untuk nombor pendaftaran RM bermula dengan nombor 2 hingga RM 9999 dibuka hari ini sehingga pukul 12 tengah hari 10 Mac depan.
Bidaan minimum adalah RM300 untuk nombor popular, RM2,000 untuk nombor menarik dan RM10,000 untuk nombor yang dikateogori bernilai utama, katanya.
Beliau berkata keputusan bidaan akan diumumkan pada 30 Mac depan dan setiap pembida akan diberitahu mengenai keputusan bidaannya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan