Kerajaan Fail Permohonan Batal Saman 2 Anak Penumpang MH370
KUALA LUMPUR: Peguam, Datuk Dr Arunan Selvaraj (kiri) bersama dua lagi peguam yang lain mewakili dua beradik berusia 14 dan 12 tahun menjawab soalan wartawan berkenaan saman yang dikemukakan dua beradik itu atas kehilangan pesawat MH370 yang dinaiki bapa mereka dalam penerbangan ke Beijing 8 Mac tahun lepas di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan bagi membatalkan saman yang difailkan dua anak lelaki penumpang pesawat MH370 berhubung kehilangan pesawat itu yang dinaiki bapa mereka dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan, yang mewakili kerajaan ketika ditemui pemberita selepas kes itu disebut dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub.
“Pihak kami masih belum memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu tetapi telah memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah,” kata Kamal Azira.
Kamal Azira berkata mahkamah turut menetapkan 17 Feb depan untuk pengurusan kes. Kerajaan memfailkan pernyataan pembelaan pada Dis tahun lepas.
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Datuk Dr S. Arunan mewakili dua beradik itu selaku plaintif.
Pada 31 Okt tahun lepas, dua beradik berusia 14 dan 12 tahun melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 39, memfailkan saman dengan menamakan Malaysian Airline System Berhad (MAS), ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ketua pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa mereka Jee Jing Hang, 41, penumpang pesawat MH370, telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac.
Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan penerbangan yang selamat, namun telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.
Selain itu, plaintif mendakwa ketua pengarah DCA sebagai defendan kedua, yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan itu selamat, telah gagal dan cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.
Adik-beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen telah gagal dan cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan menggunakan pengenalan palsu.
Mereka juga mendakwa pihak TUDM gagal dan cuai untuk menghantar pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah MH370.
Justeru, kedua-dua plaintif antara lain menuntut ganti rugi terhadap kesemua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865, dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami dua beradik itu.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada hari kejadian.
Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan