31 Januari 2015

KEBERGANTUNGAN KEPADA SIMPANAN KWSP HANYA " KESELAMATAN PALSU" KEPADA PERSARA?

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak bersedia tempuhi usia persaraan


Ramai rakyat Malaysia takut menghadapi suku terakhir hidup mereka dalam kemiskinan.

Selain hidup dengan gaji yang hanya cukup makan, mereka sering terpaksa menggunakan baki pendapatan mereka untuk membayar hutang peribadi.

Jadi tidak mengejutkan yang seramai 81 peratus rakyat Malaysia takut menjadi miskin selepas bersara. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang telah dilakukan untuk mengurangkan kebimbangan itu dengan menyimpan lebih banyak wang.

Ada yang keliru dengan jumlah yang mereka perlu simpan, atau mereka tidak dapat memiliki apa-apa simpanan, kerana perlu membayar komitmen kewangan semasa seperti pinjaman bank.

Menurut laporan HSBC mengenai rancangan rakyat Malaysia selepas bersara, mereka mendapati yang 49 peratus daripada 1,000 responden yang ditinjau tidak boleh menyimpan kerana mereka terpaksa membayar hutang, dan 27 peratus belum pun mula merancang untuk menyimpan bagi usia persaraan mereka.

Ini adalah peningkatan yang mengejutkan dari laporan sebelum ini yang dikeluarkan pada tahun 2013, yang menyaksikan hanya 43 peratus daripada 1,000 responden yang dikaji tidak bersedia secukupnya untuk bersara, dan 28 peratus daripada responden tidak pernah menabung untuk menghadapi usia persaraan.

Bank yang berpangkalan di London itu berkata keselamatan kewangan selepas persaraan akan menjadi isu, kerana PBB meramalkan bahawa akan ada seorang rakyat Malaysia yang berumur lebih 65 tahun bagi setiap empat orang yang berusia 15 hingga 64 tahun, pada tahun 2050.

Pengurus Besar HSBC Bank Malaysia, ES Lim dilaporkan berkata bahawa 28 peratus lagi tidak mengetahui jumlah yang sepatutnya mereka simpan bagi usia persaraan, dan ramai rakyat Malaysia mengandaikan bahawa usia persaraan mereka akan terjaga, jika mereka menyumbang kepada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Beliau dilaporkan berkata yang kebergantungan kepada dana KWSP ini perlu diubah kerana ia adalah "keselamatan palsu”

Lim juga mengaitkannya dengan tahap gaji yang rendah di Malaysia, kerana isi rumah purata di negara ini akan memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan, untuk memiliki kehidupan selepas persaraan yang selesa.

"Hakikatnya adalah 31 peratus daripada pesara sebenar hidup dengan kurang daripada RM3,000 sebulan," katanya yang dipetik oleh The Malay Mail Online. 

Beliau menasihatkan golongan dewasa muda di bawah usia 30 tahun yang bekerja, untuk mula menyimpan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan mereka, walaupun kadar optimumnya adalah 30 hingga 40 peratus.

- See more at: SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan