02 Januari 2015

9M-NAA JET RASMI KERAJAAN KINI DI BANGKOK


Pesawat rasmi kerajaan 9M-NAA yang digunakan perdana menteri kini dilaporkan sudah mendarat di Bangkok selepas berada di Amerika Syarikat. – Gambar YouTube, 2 Januari, 2015.


Selepas berada di London, New York dan Dubai semalam, pesawat rasmi kerajaan 9M-NAA hari ini tiba di Bangkok, Thailand pada 11.11 pagi tadi, menurut sebuah laman yang merakamkan perjalanan udara antarabangsa.

Menurut laman Flight Radar 24, pesawat Airbus A319 itu meninggalkan Dubai pada 1.53 pagi ini, selepas tiba dari London pada 12.16 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan pesawat itu untuk pergi bercuti bersama keluarga, namun Najib terpaksa bergegas pulang selepas banjir di pantai timur bertambah buruk.

Najib juga menggunakan peluang bercuti bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii, baru-baru ini.

Setakat jam 1 tengahari ini, laman Flight Radar 24 tidak merekodkan destinasi pesawat 9M-NAA yang seterusnya.

Pesawat ity sebelum ini mendarat di beberapa tempat seperti Los Angeles, Indianapolis dan Honolulu.


Data laman Flight Radar 24 yang mengikuti perjalanan pesawat 9M-NAA. – January 2, 2015.Sebelum ini, PKR mempersoalkan di mana pesawat rasmi kerajaan itu berada selepas kepulangan Najib menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Penerangan Pemuda PKR, Lee Chean Chung mempersoalkan mengapa pesawat 9M-NAA mendarat di Indianapolis dan siapa penumpang pesawat itu.

“Saya mahu tahu mengapa pesawat rasmi tidak membawa Najib pulang tetapi pesawat TUDM yang digunakan, hanya menambahkan kos?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu itu.

Pengguna media sosial juga bertanya ke mana pergi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor di saat pantai timur dilanda banjir besar.

"@NajibRazak Rosmah kat mana, Rosmah Rosmah kat mana (yeaa), Rosmah kat mana, Rosmah Rosmah kat mana (ditanya tanya lagi) #TaufikBatisah," kata Lucius Maximus melalui Twitter, menggunakan bait-bait lagu penyanyi popular dari Singapura, Taufik Batisah.

Kedahkini turut bertanya: "ROSMAH MANSUR KAT MANA?".....TERUS JADI TANDA TANYA"

Megat Trainor (@akeemzamani) pula berkata: "Rosmah ulang alik kt US shopping barang utk mangsa banjir kot #Husnuzon (sangka baik)"

Sementara Munifah (@mo0n94) berkata, “Alhamdulillah. Macam ni la FLOM yang kita nak,” merujuk kepada singkatan First Lady of Malaysia atau wanita pertama Malaysia.

Najib dalam menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Obama di Hawaii baru-baru ini menafikan beliau mengabaikan bencana banjir seperti dituduh sesetengah pihak.

Katanya, aktiviti itu dirancang lebih awal atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.

Beliau berkata, jemputan itu disampaikan sewaktu Obama melawat Malaysia April lepas, dan amat sukar menolaknya kerana ia dirangka lebih awal berdasarkan jadual kedua-dua pemimpin.

"Main golf ini bukanlah satu perkara aneh atau luar biasa... sebab zaman Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua Malaysia), Tun Dr Ismail Abdul Rahman (timbalan perdana menteri kedua) bermain golf dengan pemimpin dunia merupakan perkara yang boleh dikatakan sebagai 'golf diplomacy',” katanya. – 2 Januari, 2015. ~TMI



SUMBER KEADILAN DAILY

Najib perlu jelaskan tujuan jet rasmi kerajaan ‘keliling dunia’, kata PKR

PKR desak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beri penjelasan tujuan jet rasmi negara terbang ke beberapa kawasan di luar negara sejak beberapa hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Januari, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan tujuan jet rasmi kerajaan Malaysia, 9M-NAA dipercayai diterbangkan ke beberapa kawasan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand dalam tempoh beberapa hari sejak 31 Disember hingga semalam.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung berkata semakan menggunakan aplikasi 'Flightradar' mendapati pesawat itu terbang ke New York dari Indianapolis, dan ke New York dari Los Angeles, Amerika Syarikat pada 31 Disember, manakala pada 1 Januari, pesawat itu meneruskan perjalanannya ke Dubai, dari London dan Bangkok dari Dubai.

"Nampaknya jet misteri tersebut akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

"Yang menarik perhatian saya ialah 'misi misteri' ini bergerak ke arah barat dari Indianapolis ke Los Angeles, tetapi kemudian ke arah timur pula dari Los Angeles ke New York. Apakah tujuan penerbangan yang berulang-alik dan pelik itu?" soalnya, dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu itu berkata, ketiadaan jet rasmi kerajaan selama 7 hari ketika Malaysia dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah menjadi tanda tanya orang awam dan menimbulkan keraguan masyarakat antarabangsa.

"Tiada pemimpin yang berintegriti akan menggunakan jet rasmi kerajaan untuk bercuti, apatah lagi dalam keadaan rakyat sengsara menghadapi malapetaka yang menyakitkan ini.

"Tambahan pula, jet tersebut boleh ditinggalkan untuk penggunaan 'VIP misteri' untuk terbang ke sana sini sempena pesta Krismas dan Tahun Baru di negara barat," katanya.

Beliau sebelum ini mendakwa, penggunaan jet VIP Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) M53-01 untuk menghantar Najib pulang ke Malaysia, adalah pembaziran kerana beliau boleh balik dengan jet 9M-NAA.

Katanya, ia membazirkan wang rakyat sebanyak RM73,620 sebagai pembayaran kos bahan api.

Lee berkata, wang sejumlah itu sepatutnya boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir.

"Jumlah ini belum termasuk kos penggunaan jet asal 9M-NAA yang sudah pasti akan mencecah jutaan ringgit," katanya.

Selaku pengguna jet rasmi 9M-NAA, Lee berkata, Najib wajib memberikan penjelasan tujuan penggunaan jet tersebut, dan adakah ia diguna pakai oleh keluarga atau isterinya.

Beliau juga mahu tahu adakah perbelanjaan pesawat itu akan ditanggung rakyat yang kini menderita akibat banjir ini.

"Saya turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat dan gambar 'VIP misteri' yang menggunakan jet tersebut supaya membekalkan informasi kepada PKR dan saya untuk pendedahan lanjut," katanya.
Pautan kekal imej terbenam


Tiada ulasan:

Catat Ulasan