27 Januari 2015

10 MAUT JET F-16 TERHEMPAS SEMASA LATIHAN



FOTO diambil daripada rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal naik ke udara selepas sebuah pesawat pejuang F-16 Greek terhempas sejurus selepas berlepas ketika menyertai latihan di lapangan udara Los Llanos, Albacete, Sepanyol awal pagi tadi. 10 mangsa terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam kejadian itu. - Foto Reuters

MADRID – Lapan anggota tentera Perancis dan dua anggota tentera Greece terbunuh apabila sebuah jet pejuang F-16 Greece terhempas ketika berlepas di pangkalan tentera di Sepanyol yang menempatkan pusat latihan juruterbang elit NATO.

Pesawat dua tempat duduk itu “hilang kuasa” ketika ia berlepas dari pangkalan berhampiran bandar Albacete dan terhempas di kawasan di mana pesawat lain diletakkan, sekaligus merosakkan lima pesawat lain.

Siaran televisyen menunjukkan api marak dan asap hitam berkepul ke udara dari kawasan pesawat itu terhempas dengan siren bergema di seluruh kawasan.

“Terdapat kematian membabitkan dua warga Greece dan lapan Perancis,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy dalam satu kenyataan kepada rangkaian televisyen swasta, Telecinco.

Kedua-dua juruterbang berpangkat kapten pesawat yang terhempas itu adalah antara mereka yang terbunuh. Mangsa warga Perancis termasuk tiga kapten dan seorang leftenan.

Seramai 21 yang lain tercedera dalam nahas itu, iaitu 11 warga Itali dan 10 warga Perancis.

Lima daripada yang tercedera itu melecur teruk dan dikejarkan ke unit pakar di sebuah hospital di Madrid.

Kementerian Pertahanan Sepanyol menyatakan siasatan sudah dimulakan bagi mengenal pasti punca nahas.

Jet F-16 itu melanggar dua pesawat AMX Itali dan tiga pesawat Perancis – Mirage 2000 dan dua Alfa Jets – apabila ia terhempas.

Pesawat Greek berkenaan mengambil bahagian dalam latihan NATO yang dikenali sebagai Program Kepemimpinan Taktikal bagi memantapkan kerja sama pelbagai negara dalam operasi udara. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan