10 Disember 2014

MENTERI-MENTERI NAJIB HANYA JAGA PERUT SENDIRI?


Berjimat termasuk kurangkan Kabinet, bukan tekan rakyat, kata penganalisis


Bilangan menteri dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak amat ramai, di masa Putrajaya menyeru rakyat berjimat cermat. 

Rakyat berpendapatan rendah tidak seharusnya terbeban dengan cukai baharu yang diperkenalkan kerajaan sebaliknya Putrajaya perlu melakukan penjimatan dan tidak terus memberi tekanan kepada rakyat, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan juga perlu merasai denyut nadi rakyat dan antara pendekatan yang boleh diambil ialah mengurangkan bilangan menteri Kabinet.

“Jika kerajaan tak ada pendapatan yang tinggi, kecilkan saiz kerajaan termasuklah mengurangkan bilangan menteri Kabinet dan kementerian. Kurangkan saiz kerajaan bila kerajaan tidak mempunyai wang.

“Kerajaan perlu berjimat mengurangkan perbelanjaan dan bukannya ambil lebih banyak duit daripada rakyat. Bukan juga memperkenalkan cukai yang baru tetapi apa yang patut dibuat ialah memperkecilkan perbelanjaan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider selepas satu sesi perbincangan di Petaling Jaya, malam tadi.

Wan Saiful (gambar, kiri) berkata apa yang menjadi kebimbangan Putrajaya kini adalah bagaimana untuk terus menanggung bilangan menteri yang ramai di saat pendapatan negara tidak menentu.

Katanya, penjimatan perbelanjaan oleh Putrajaya akan membolehkan kerajaan mengenakan cukai minimum kepada rakyat.

“Kalau kerajaan tiada duit, mungkin menteri yang hilang kerja, satu perkara yang baik bagi negara. Saya tak rasa negara menjadi bankrap jika kerajaan tak cukup duit. Yang akan jadi bankrap, menteri yang banyak hutang, terlibat dalam aktiviti lain di luar bidang kerja politik mereka.

“Ada lebih 30 menteri Kabinet jadi mereka fikir bagaimana nak kekalkan kesemua mereka. Apa yang perlu difikirkan, kalau sekiranya tiada duit, maka kerajaan perlu berjimat dan mengurangkan perbelanjaan seperti yang dilakukan rakyat.

“Kurangkan sedikit belanja hias kementerian, pejabat menteri, kurangkan perbelanjaan perjalanan malah kurangkan bilangan menteri yang kita ada. Tak perlu wujud banyak sangat kementerian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata Putrajaya mengambil keputusan tepat apabila menarik subsidi produk tertentu kerana ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, apa yang tidak disedari sesetengah pihak ialah pemberian subsidi datangnya daripada wang rakyat, maka ia juga merupakan satu bentuk penjimatan.

"Penarikan subsidi adalah sesuatu yang perlu dibuat sekarang dan diteruskan sehingga masyarakat tidak lagi bergantung kepada subsidi yang diberikan kerajaan.

"Penarikan subsidi adalah tindakan yang betul tidak mengira apa juga dapatan data. Penarikan subsidi adalah tindakan lebih bermoral dan tepat dinilaikan berdasarkan akhlak," katanya.

Wan Saiful berkata apa yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kerajaan membelanjakan wang rakyat dan seterusnya memuji diri sendiri.

Katanya, tiada ahli politik yang berminat menjaga kepentingan rakyat sebaliknya hanya mahu memastikan mereka dapat terus berkuasa dalam pilihan raya yang akan datang.

"Sejak bila kerajaan memikirkan tentang rakyat? Mereka hanya mahu mengekalkan kuasa. Ahli politik hanya fikir untuk menang pilihan raya.

"Mengharapkan ahli politik memikirkan orang lain, itu hanya mimpi. Itu tidak berlaku," katanya.

LIHAT LAGI : SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan