03 Disember 2014

DULU KATA HANYA HUJAN SAJA YANG TURUN KINI RM PUN TURUN JUGAK!!!

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS dalam awal dagangan hari ini kerana dolar mendapat sokongan pelabur berikutan penurunan harga minyak, kata peniaga.

Hingga jam 9.22 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 3.4415/4415 berbanding 3.4225/4255 pada penutupan semalam.

Ringgit juga lebih rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen.

Ia rendah berbanding dolar Singapura pada 2.6233/6250 daripada 2.6190/6215 pada penutupan semalam, jatuh berbanding euro kepada 4.2623/2662 daripada 4.2576/262, dan jatuh berbanding pound British kepada 5.3829/3877 daripada 5.3822/3876.

Ringgit bagaimanapun naik sedikit berbanding yen kepada 2.8806/8835 daripada 2.8809/8839 semalam.
- BERNAMA





BACA LAGI BERITA BERKAITAN.......KUASA BELI RM MERUDUM TERUK....

Pandang serius rungutan rakyat tangani kenaikan harga barangan



Kejatuhan harga minyak global sepatutnya dijadikan peluang kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau harga barangan secara agresif yang didapati menjadi punca utama peningkatan kos hidup rakyat Malaysia.

Kenaikan harga barangan semakin menakutkan sehingga nilai mata wang semakin mengecil.

Doktor pakar sakit puan sebuah hospital swasta di Ampang itu berkata, jika kenaikan harga barang tidak dibendung, dikhuatiri keadaan semakin sukar apabila kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada suku kedua tahun depan.

Dr. K. Arun menyatakan kebimbangan itu selepas mendapati wang sebanyak RM2 tidak mempunyai apa-apa nilai lagi.

"Saya sudah beberapa kali membawa wang sebanyak RM2 untuk membeli sarapan tetapi saya hanya mampu membeli dua keping kuih yang berharga RM1.40 dan segelas air suam pada harga 30 sen.

"Kalau saya hendak makan nasi lemak, saya hanya boleh beli nasi lemak yang siap bungkus sahaja dan tidak boleh beli air sebab harga nasi lemak RM2," katanya yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan situasi semasa.

Dr. Arun menambah, keadaan itu lebih sukar berbanding di Singapura kerana dengan S$2, seseorang masih boleh membeli sarapan iaitu sekeping kuih, sekeping roti canai dan secawan teh O atau kopi O.

Tegasnya, jika dia yang bekerjaya sebagai seorang doktor merasai kepayahan itu, apatah lagi golongan berpendapatan kecil dan sederhana rendah.

"Bagi saya kehidupan hari ini cukup mencabar dan sukar," tambah doktor pakar yang berusia awal 60an itu.

Lantaran itu, beliau menaruh harapan agar kerajaan menggerakkan semua agensi penguatkuasa untuk memantau harga barangan terutama yang menjadi keperluan rakyat.

Beliau yang menetap di Ampang berkata, harga ikan dan sayur adalah hampir sama - tidak kira di pasar, pasar mini atau pasar raya.

Jika lima atau enam tahun dulu, pengguna boleh memilih untuk membeli ikan kembung, ikan selar atau ikan sardin kerana harganya murah berbanding ikan tenggiri, ikan merah, ikan jenahak dan ikan kurau.

Tetapi pada hari ini harga ikan yang menjadi pilihan orang ramai juga mahal sehingga mencecah berbelas ringgit manakala harga ikan yang berharga mahal hanya mampu dibeli oleh golongan yang berkemampuan sahaja.

"Saya berharap Perdana Menteri melihat sendiri kepayahan rakyat, hendak makan pun perlu berkira-kira kerana harga mahal.

"Kalau tidak percaya cuba buat tinjauan sendiri di pasar-pasar. Tengok gelagat, raut muka golongan wanita apabila berada di pasar.

"Wajah mereka berkerut sambil mulut melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga ikan atau sayur," ujarnya.

Dr. Arun akui memang sukar untuk menikmati barangan berharga murah seperti 15 tahun atau 10 tahun lalu, tetapi setidak-tidaknya harga barangan masih boleh dikawal.

"Kalau kerajaan mempunyai keazaman membantu rakyat, masalah-masalah mudah seperti ini boleh ditangani. Masalahnya rungutan rakyat tidak pernah dipandang serius," katanya. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan