21 Oktober 2014

Subsidi Baharu Petrol: Beli Guna MyKad, Hanya Untuk Golongan Layak , Pendapatan lebih RM4k Tidak Layak?



Subsidi Baharu Petrol: Beli Guna MyKad, Hanya Untuk Golongan Layak


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan sistem rasionalisasi subsidi petrol yang melibatkan mekanisme baharu dengan mengambil kira pendapatan individu bermula Jun 2015.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sistem tersebut bertujuan untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja mendapat manfaat subsidi petrol.

"Kita dapati subsidi petrol tersasar, jadi ia perlu diperbetulkan. Susulan itu, kerajaan berkemungkinan besar merasionalisasikan subsidi petrol pada Jun tahun depan.

"Jadi yang mana layak dapat subsidi, yang tak layak tak diberi subsidi," katanya selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.


Beliau berkata, menerusi sistem itu, pengguna perlu membeli petrol dengan menggunakan My Kad kerana jumlah pendapatan mereka telah direkodkan bagi menentukan sama ada pembeli layak mendapat subsidi atau sebaliknya.

"Perincian sama ada guna My Kad bagi pembelian petrol... tapi ia boleh berubah kerana masih ada tempoh lapan bulan lagi sebelum dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, perkara itu masih lagi diperingkat kajian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang meminta kertas cadangan daripada syarikat-syarikat yang ingin membangunkan mekanisme baharu itu.

"KPDNKK minta kertas cadangan untuk mekanisme baharu bagi rasionalisasi petrol kerana kalau nak masukkan pendapatan rakyat bukan satu tempoh yang singkat," katanya.

Ahmad Maslan berkata, dengan pelaksanaan sistem itu, rakyat berpendapatan RM4,000 ke bawah mungkin mendapat subsidi petrol seperti yang dinikmati semua lapisan masyarakat pada hari ini.

Namun, katanya bagi mereka yang berpendapatan antara RM4,000 hingga RM12,000 keputusan sama ada mereka layak mendapat subsidi atau tidak masih belum diputuskan.

"Mungkin sebahagian subsidi dapat tetapi itu lebih kurang... belum lagi diputuskan," katanya. ~MStar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan