Malala Yousafzai Catat Sejarah Penerima Hadiah Nobel Termuda
LONDON: Remaja perempuan dari Pakistan, Malala Yousafzai, yang ditembak oleh puak Taliban sehingga hampir membawa maut dua tahun lalu kerana memperjuangkan hak untuk wanita memperolehi pendidikan telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Nobel untuk keamanan - penghormatan yang pernah diterima oleh Nelson Mandela suatu ketika dahulu.
Malala, 17, yang kini menetap di Birmingham, England bersama keluarganya mencatat sejarah sebagai penerima anugerah Nobel yang termuda.
Dalam satu kenyataan media, Jawatankuasa Anugerah Nobel menegaskan: "Di sebalik usia mudanya dan malapetaka yang menimpanya, Malala Yousafzai tanpa henti terus memperjuangkan hak wanita untuk memperolehi pendidikan dan sekaligus menunjukkan teladan bahawa kanak-kanak dan golongan remaja pun mampu menyumbang untuk memperbaiki situasi mereka. Dan dalam kes Malala dia telah melakukannya dalam situasi yang sangat berbahaya kepada keselamatan dan nyawanya."
Dan apabila seorang wartawan bertanya, mengapa Malala yang menjadi pilihan sedangkan dia belum memperolehi apa-apa lagi yang signifikan di dalam perjuangannya itu, Ketua Jawatankuasa Anugerah Nobel, Thorbjörn Jagland terus membidas wartawan tersebut.
"Macamana awak boleh tergamak berkata demikian! Terima kasih kepada Malala, kerana keberaniannya, isu mengenai pendidikan kanak-kanak dan guna tenaga kanak-kanak telah diletakkan dalam agenda dunia," tegas Jagland.
Malala hanya berusia 11 tahun apabila dia buat pertama kalinya menyuarakan kepentingan pendidikan dalam satu temuramah siaran televisyen.
Bagaimanapun pada Oktober 2012, puak Taliban telah menyerbu masuk ke dalam bas sekolah yang dinaikinya lalu melepaskan tembakan sehingga mencederakannya.
Dia terkena tembakan di kepala.
Malala kemudiannya telah diterbangkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan khusus di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, yang mana menyaksikan dia melalui beberapa proses pembedahan pada kepalanya sehingga berjaya dipulihkan.
Malala kini tinggal bersama bapa, ibu dan dua saudaranya di Birmingham dan belajar di sekolah tempatan.
Sejak insiden tersebut, Malala telah menghasilkan buku, "I Am Malala", menyampaikan ucapan dan ucapatama di forum dan seminar antarabangsa dan dianugerahkan penghormatan oleh Parlimen Eropah.
Turut menerima Anugerah Nobel untuk keamanan bagi tahun ini ialah seorang lagi pejuang hak kanak-kanak iaitu Kailash Satyarthi dari India.
Satyarthi, 60, telah mengekalkan tradisi yang dipejuangkan oleh Mahatma Gandhi iaitu menuntut perubahan secara aman dengan memberi penekanan kepada menentang penggunaan tenaga kanak-kanak untuk membuat keuntungan.
"Tahun ini kita mempunyai dua pemenang. Seorang dari Pakistan dan seorang lagi dari India. Seorang beragama Islam dan seorang lagi beragama Hindu dan kedua-duanya mempunyai iltizam yang kuat untuk memperjuangkan hak pendidikan dan menentang ekstrimisme,' kata Jagland lagi.
Lain-lain kategori untuk Anugerah Nobel seperti dalam bidang perubatan, kimia, fizik dan kesusasteraan telah pun diumumkan secara berperingkat sejak awal minggu lalu dan penerima anugerah dalam bidang ekonomi akan diumumkan Isnin depan.
Kesemua pemenang akan menerima anugerah masing-masing menjelang 10 Disember ini sempena ulang tahun kematian pengasas anugerah ini pada 1896. Penerima anugerah untuk keamanan akan menerimanya di Oslo manakala yang lain di Stockholm.
Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, yang merupakan salah seorang jurukempen bersama-sama Malala dalam isu pendidikan kanak-kanak dan wanita berkata: 'Malala Yousafzai dan Kailash Satyarthi adalah dua manusia yang paling hebat di muka bumi ini dalam soal memperjuangkan masa depan kanak-kanak. Kedua-duanya adalah rakan baik saya dan berhak untuk menerima pengiktirafan ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan