08 Oktober 2014

Putrajaya enggan dedahkan kos pesawat Rosmah ke Indonesia


Putrajaya enggan dedahkan kos pesawat Rosmah ke Indonesia



Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru diberi anugerah tertinggi Minangkabau dan menaiki pesawat rasmi ke Padang, Indonesia.

Putrajaya enggan mendedahkan kos spesifik ‎pesawat rasmi negara yang membawa isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor ke Padang, Indonesia untuk menerima anugerah tertinggi Minangkabau baru-baru ini.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dalam soalannya di Dewan Rakyat mahu Putrajaya mendedahkan tujuan Pesawat NR1 dengan nombor pendaftaran 9M-NAA terbang ke Padang pada 27 Ogos lalu.

Setiausaha pengelola DAP itu juga mahu Putrajaya mendedahkan kos dan penumpang yang bersama dalam penerbangan itu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, selain Rosmah, senarai penumpang tetamu kehormat dalam pesawat itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan serta delegasi kerajaan.

Shahidan juga berkata pesawat tersebut digunakan atas urusan perdana menteri bagi lawatan rasmi ke Singapura.

"Pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan dan digunakan atas urusan perdana menteri.

"Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran bersesuaian dengan perkhidmatannya," kata Shahidan sepertimana dinyatakan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Rosmah pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan jet rasmi kerajaan bagi persidangan wanita di Doha, Qatar.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) pada sidang Dewan Rakyat tahun lepas dan mendapat kritikan hebat daripada orang ramai.

Loke berkata perkara itu diketahui melalui seorang pemberi maklumat pada Ogos lalu apabila data pesawat mi‎lik Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui laman web 'FlightRadar24.com" mengesan penerbangan pesawat itu pada 27 Ogos lalu.

"Dalam data tersebut menyatakan pada 27 Ogos, pesawat itu berlepas daripada Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudiannya membuat penerbangan ke Padang, Indonesia.

"Pada 28 Ogos lalu, pesawat itu terbang dari Padang, Indonesia ke Singapura sebelum ke KLIA dan Subang," katanya.

Beliau berkata penerbangan pada 27 Ogos itu adalah pada hari Rosmah menerima anugerah darjah tertinggi suku Minangkabau di Padang, Indonesia dan pada hari sama menemani perdana menteri merasmikan Agrobazar Malaysia di Singapura.

Loke bagaimanapun kesal apabila Putrajaya bertindak menyembunyikan‎ kos perbelanjaan menggunakan pesawat tersebut.

"Tidak pernah berlaku sebelum ini, apabila saya bertanyakan soalan mengenai angka, mereka selalu akan memberikan butiran terperinci.

"Namun tidak kali ini, seperti mereka mahu berahsia dan ingin menyembunyikan bagi mengelakkan persepsi negatif," katanya.

Beliau berkata, isu kelayakan isteri perdana menteri menggunakan pesawat khas kerajaan sudah berkali-kali dibangkitkan di Dewan Rakyat.

"Saya pernah bertanyakan pada bulan Mac lalu berkenaan kos penerbangan ‎beliau ke Qatar dan jawapan diberikan ialah RM426,489.46," katanya.

Loke membidas Putrajaya kerana menurutnya tidak ada mana-mana menteri tidak boleh menjawab persoalan daripada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Setiap sen dibelanjakan untuk kemudahan rasmi digunakan perdana menteri dan isterinya serta anggota pentadbiran adalah dana awam dan boleh dipersoalkan.

"Sekiranya Parlimen pun tidak dapat memberikan jawapan, bagaimanakah ketelusan perbelanjaan dapat dijamin?" soalnya.~TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan