R. Munusamy (kiri) dan pegawainya menunjukkan MPV mewah yang dirampas semasa sidang akhbar kes curi kereta mewah di IPD Sentul, Kuala Lumpur, semalam.
Siapa yang tidak terpesona apabila ditawarkan untuk membeli kenderaan idaman dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.
Contohnya, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire 2.4z terpakai yang nilai pasarannya antara RM170,000 hingga RM250,000, ditawarkan dengan harga RM80,000 sahaja.
Malah harga tidak masuk akal itu juga ditawarkan untuk mereka yang berminat membeli MPV mewah lain seperti Estima, Caldina, Fortuner, Altis dan Wish,
Bagaimanapun sebelum membeli MPV murah tersebut, pembeli dinasihatkan membuat pemeriksaan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu kerana polis baru sahaja mengesan satu sindiket menjual kenderaan curi dikenali sebagai Geng Sekinchan yang menggunakan taktik sedemikian.
Sindiket itu dikesan hanya mengiklankan kenderaan curi melalui rangkaian aplikasi WhatsApp sahaja dan mereka mampu menarik ramai mangsa yang terpedaya dengan harga yang terlalu murah.
Mereka menjanjikan harga serendah RM45,000 hingga RM80,000 terhadap pelbagai kenderaan mewah khususnya MPV yang didakwa mahu dijual ekoran lambakan kenderaan sebegitu di pasaran.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, sindiket itu mendakwa kepada pembeli berminat yang MPV terbabit dirampas bank kerana gagal membayar ansuran bulanan.
“Sebenarnya kenderaan itu adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di seluruh negara dan sindiket ini juga turut memalsukan cukai jalan dan geran kenderaan bagi meyakinkan pembeli.
“Malah mereka bertindak memadamkan atau meniru nombor casis kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.
Munusamy berkata, sindiket itu tumpas apabila polis menangkap 12 lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun serta menemui 12 MPV di sekitar di Cheras, Sekinchan, Tanjong Karang dan Kuala Selangor, Selangor dalam beberapa operasi sejak seminggu lalu.
“Sebanyak 12 kereta yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.3 juta mengikut harga pasaran semasa dan kita juga percaya banyak kenderaan lain telah dijual.
“Ini berikutan sindiket ini sangat licik, mereka curi dan segera mencari pembeli selepas memalsukan segala dokumen bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambah Munusamy, kes disiasat mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan