02 Oktober 2014

Lelaki disyaki potong, bakar kekasih kena tahan



Anggota polis membawa suspek ke lokasi kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru, Pulau Pinang, semalam. - Foto Amir Irsyad Omar

Bukit Mertajam: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai membunuh, memotong dan membakar mayat teman wanitanya dalam kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru, di sini, awal pagi semalam.

Suspek dipercayai bertindak demikian untuk menyembunyikan mayat mangsa yang dikenali sebagai Intan, berusia lewat 20-an dan berasal dari Teluk Air Tawar, Butterworth yang sering berkunjung ke rumahnya.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudian bersembunyi di rumah kenalannya di Bandar Baharu, Kulim, Kedah, namun berjaya dikesan dan diberkas oleh polis, pada jam 4.45 petang semalam.

Isteri saya bertambah curiga lalu memeriksa kawasan sekitar kediaman sebelummenemui serpihan tulang dengan kesan terbakardi satu lokasi kira-kira 50 meter dari rumah"

Abang ipar suspek

Abang ipar suspek yang enggan dikenali berkata, isterinya berasa tidak sedap hati selepas dimaklumkan oleh anak lelaki mereka dan jiran mengenai tindakan suspek membawa cangkul dengan badan berlumpur ke kawasan semak berdekatan rumah mereka.

"Isteri terus ke rumah adiknya dan menjumpai pakaian berlumuran darah. Adik ipar saya itu bagaimanapun terus melarikan diri menggunakan motosikal teman wanitanya, namun wanita itu tidak kelihatan pun di rumah terbabit.

Temui serpihan tulang

"Ia membuatkan isteri saya bertambah curiga lalu memeriksa kawasan sekitar kediaman berkenaan sebelum menemui serpihan tulang dengan kesan terbakar di satu lokasi kira-kira 50 meter dari rumah. Dia kemudian membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Zahari Noor, berkata pemeriksaan terhadap tulang yang ditemui kira-kira jam 2 pagi semalam itu, mengesahkan ia milik manusia, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata polis sudah membawa suspek ke lokasi kejadian untuk membantu mengesan anggota badan mangsa, manakala motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan