02 Oktober 2014

BN PUN KECAM KENAIKAN HARGA RON95 DAN DIESEL !!!

BN dan Pakatan selar harga RON95 naik ketika harga minyak dunia turun

Pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penarikan subsidi bahan api serta turut mempersoalkan rasional keputusan di saat rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Tindakan Putrajaya mengurangkan kadar subsidi bahan api RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menerima kecaman kedua-dua pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) kerana ia dibuat ketika harga minyak dunia turun dan rakyat Malaysia sedang menghadapi tekanan akibat kos sara hidup yang makin meningkat.

Selain pemimpin PAS, PKR dan DAP menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, parti komponen BN, MIC dan seorang ahli Majlis Tertinggi Umno juga turut mempersoalkan keputusan itu yang berkuatkuasa hari ini.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah mengurangkan subsidi sekaligus menaikkan harga runcit jualan bahan api itu dilakukan dalam keadaan tidak masuk akal kerana harga minyak dunia mengalami penurunan sejak empat tahun lepas.

"Kita kesal dan kecewa tindakan kerajaan menaikkan harga minyak runcit dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Semalam harga minyak mencatat AS$90.73 setong, berbanding pada Julai AS$103 setong. Dan kejatuhan harga minyak berlaku sejak empat tahun dan dijangka akan berterusan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, penurunan harga minyak dunia seharusnya menjadi berita baik buat masyarakat di seluruh dunia, namun sebaliknya berlaku di Malaysia.

"Di Malaysia, kejatuhan harga minyak dunia berikan berita sedih kerana kerajaan terus naikkan harga minyak.

"Sedangkan kerajaan sering berhujah harga minyak naik kerana harga pasaran minyak dunia yang naik tetapi harga turun," katanya sambil menambah tindakan kerajaan itu menimbulkan persoalan yang besar.

Beliau turut mempersoalkan kualiti minyak Malaysia yang pada pandangannya rendah kualitinya berbanding standarad antarabangsa.

"Kalau kerajaan bercakap standard dunia negara pertama, diesel mesti capai Euro 5, kita baru capai Euro 2. Kerajaan jual minyak mutu rendah dengan harga tinggi," katanya.


Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) menganggap kenaikan kos bahan api itu adalah "hadiah" buat rakyat Malaysia.

Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel itu katanya adalah kesan sampingan terbaru akibat sikap kerajaan persekutuan yang tidak mengambil berat kebajikan rakyat dan kegagalannya mengurus ekonomi negara.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar.

"Apatah lagi, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya berpendapatan sederhana dan rendah," katanya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan Umno dan BN dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang penting.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam laman Facebook miliknya berkata, kerajaan United Kingdom dan India menurunkan harga minyak mereka sejak minggu lalu ekoran penurunan harga minyak dunia, namun tidak di Malaysia.

Menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low kerana didakwa gagal menguruskan integriti dan membanteras rasuah di kalangan kerajaan, Lim berkata daripada menaikkan harga minyak, Putrajaya harus fokus kepada pembasmian rasuah secara serius.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menulis di dalam Facebooknya memohon kerajaan mengkaji semula tindakan pemotongan subsidi itu ketika rakyat sedang bertarung dengan kenaikan kos sara hidup.

"Walaupun idea rasionalisasi subsidi minyak ada kewajarannya, namun pemotongan subsidi ketika ini adalah tidak sesuai melainkan kita sudah berjaya menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.


"Harap para penasihat seperti Pemandu dan Datuk Seri Idris Jala lebih sensitif dan dapat menyelami suara hati rakyat di bawah sebelum melakukan apa jua tindakan," katanya.

Ketua Pemuda MIC Sivarraajh Chandran pula berkata, walaupun kerajaan BN mengatakan ia akan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan itu hanya sekali setahun sahaja dan tidak akan membantu isirumah untuk jangka masa panjang.

"Kenaikan ini akan menyebabkan reaksi berantai di mana harga barang keperluan dan perkhidmatan juga akan turut naik. Ia akan pasti meningkatkan kos sara hidup rakyat dan gologan miskin yang paling merasa penangannya," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ia juga mungkin menjejaskan sokongan rakyat kepada BN terutamanya di kalangan berpendapatan rendah yang tinggal di desa dan bandar.

1 ulasan:

  1. Kenaikan harga minyak untuk mengawal ketirisan....mengapa tiris....rasuah dan gagal menjalankan SOP tatakerja

    Kenapa pulak kelemahan pentadbiran kerajaan rakyat yang pikul beban ???









    BalasPadam