01 September 2014

WALAUPUN GAJI 4 ANGKA TAPI TIADA MAKNA

Pendapatan 4 angka tidak cukup bagi rakyat Malaysia


Ojaran Fakharurrazi Omar, 37, dan isterinya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.


Keadaan ekonomi mungkin berkembang di luar jangkaan, namun bagi rakyat Malaysia berpendapatan RM2,500 ke bawah sebulan, tidak banyak yang boleh mereka harapkan bagi kehidupan yang lebih baik.

Contohnya seperti Ojaran Fakharurrazi Omar, 37, penghantar barang kilang biokimia di George Town, Pulau Pinang. Dia dan isterinya hanya memperoleh RM2,000 sebulan.
Menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara, mereka membentuk "kelas pertengahan 40%" daripada rakyat Malaysia yang bekerja makan gaji, iaitu berpendapatan antara RM1,222 dan RM2,957 sebulan, berdasarkan kajian dari 1990 hingga 2008.

Keluarga mereka sukar mencukupkan segala barang keperluan mereka setiap bulan. Untuk menambah pendapatan mereka, isteri Ojaran bekerja sebagai pengasuh dan menjaga anak jiran tetangga.

"Saya cuba cari duit lebih dengan bekerja lebih masa jika ditawarkan syarikat. Bos bayar tunai kalau kerja lebih masa. "Tetapi bukan selalu ada. Pekerja lain pun mahu kerja lebih masa juga," kata Ojaran di kediamannya di Taman Tun Sardon.

"Saya buat juga kerja-kerja lain, kadang-kala bantu rakan pindah barang... kadang-kala bantu jiran yang berniaga di gerai."Saya terima RM50 atau berapa sahaja yang mereka boleh beri, bergantung kepada kerja yang dibuat. Kadang ada kerja, kadang tidak," katanya

Rakyat Malaysia bergelut sara hidup walaupun ekonomi naik

Rakyat Malaysia yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM6,000 masih tidak mencukupi walaupun Putrajaya mengumumkan keadaan ekonomi negara sedang meningkat naik.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Bank Negara memuji angka terkini perkembangan ekonomi Malaysia dan pendapatan negara kasar, namun tinjauan The Malaysian Insider dengan 13 isi rumah di Lembah Klang dan Pulau Pinang menunjukkan kesukaran hidup di bandar besar.

Bagi lima keluarga yang berpendapatan antara RM3,500 dan RM5,000, mereka berhenti makan di luar, cuma satu atau dua kali sebulan untuk menjimatkan wang.
Bagi lapan keluarga yang berpendapatan bawah RM3,500, makan di rumah masih mencabar.

Mereka terpaksa kurangkan daging dan makanan import untuk menampung makan minum anak-anak dan ibu bapa yang uzur.

Kebanyakan pencari nafkah dalam kumpulan terakhir ini mengakui keluarga mereka diancam kebuluran jika mereka sakit atau tidak dapat bekerja kerana tidak ada simpanan jika berlakunya kecemasan.

Ini merupakan realiti sebenar yang dihadapi keluarga ketika kerajaan sedang bermegah dengan usaha mencapai status "negara maju" menjelang 2020.

Menurut kajian Majlis Penasihat Ekonomi Negara atas pendapatan isi rumah pada tahun 2008, 80% daripada mereka memperolehi kurang RM2,957 sebulan dan berada di antara jurang golongan berpendapatan rendah.

Bank Negara pada 15 Ogos mengumumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tumbuh 6.3% pada separuh tahun pertama, berbanding dengan 5.5% pada tempoh sama pada tahun 2013.

Menurut akhbar The Star, perkembangan ekonomi Malaysia "sekali lagi merancakkan pasaran... lebih pantas daripada yang dijangkakan hasil pertumbuhan eksport dan permintaan domestik yang kukuh".

Bagaimanapun, Bank Negara menjangkakan perkembangan perlahan dalam separuh tahun kedua.

Pada masa sama, Reuters melaporkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengukur inflasi naik kepada 3.3% pada Jun, meningkat berbanding 3.2% pada Mei.

Lapan hari kemudian, Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu (CEO) Datuk Seri Idris Jala berkata Malaysia berada di landasan mencapai sasaran pendapatan tinggi US$15,000 (RM47,414) pada tahun 2020 atau lebih awal.

Menurut Idris, ia hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diusahakan pentadbiran Najib.

Katanya, perkembangan pendapatan negara per kapita meningkat stabil daripada RM22,313 pada tahun 2009 kepada RM31,799 pada tahun 2013, berkembang 42.5% dalam tempoh tersebut.

Namun bagi peniaga gerai burger Zainal Ahmad, 52, pendapatan tahunannya cuma RM25,200 atau kira-kira RM2,100 sebulan, merasa beban sara hidup bertambah berbanding enam bulan lalu.

"Dahulu beli barang dengan RM50 boleh tahan sampai seminggu. Sekarang RM50 hanya bertahan dua hingga tiga hari sahaja," kata Zainal yang tinggal bersama enam ahli keluarganya di pangsapuri kos rendah di Seksyen 24, Shah Alam.

CEO Gabungan Persatuan Pengguna Malayia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata CPI tidak mencerminkan kesukaran sebenar yang dirasai pengguna terhadap kenaikan harga barang.

"CPI tidak menunjukkan secara tepat barang yang biasanya dibeli pengguna. Secara realitinya, barang yang dibeli mungkin lebih mahal daripada nilai asal," katanya.

Malah, kenaikan kadar pendapatan negara kasar dan KDNK juga tidak mencerminkan sama ada hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya lebih baik berbanding enam bulan lalu, seperti yang dipertikaikan dalam artikel pendapat The Malaysian Insider pada 26 Ogos lalu.

"Apa yang tidak didedahkan Idris, atau dipandang remeh, adalah ketika pendapatan negara kasar meningkat, pekerja tidak melihat kenaikan yang sama dalam pendapatan.

Pada tahun 2011, jumlah pendapatan isi rumah hanya 46% berbanding rakyat di negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang memperoleh anggaran 70%, kata artikel itu.

Begitu juga dengan KDNK. Pertumbuhan 6.4% tidak mempengaruhi gaji dan pendapatan pekerja.

"Ini kerana kebanyakan KDNK tertumpu dalam bidang keuntungan perniagaan, bukannya cukai dan subsidi atau gaji. Di negara maju, sektor gaji dalam KDNK dalam lingkungan 45% hingga 60%.

Di Malaysia, setiap ringgit yang dihasilkan negara pada tahun 2005, pekerja Malaysia hanya memperoleh 28 sen, syarikat pula mendapat 67 sen dan kerajaan 5 sen.

Di Singapura, pekerja mendapat 42 sen, perniagaan 47 sen dan kerajaan 11 sen, menurut artikel itu.

Akan datang, The Malaysian Insider akan menyiarkan berita tentang rakyat Malaysia dan pendapatan sebenar mereka serta sama ada mereka dapat menjadi sebahagian daripada negara berpendapatan tinggi seperti yang kerajaan mahu kita percaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan