14 September 2014

KERTAS MATEMATIK UPSR DILAPORKAN BOCOR?


Adakah kertas Matematik UPSR juga bocor?

Kertas Matematik 1 bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga dipercayai telah bocor dan tersebar kepada umum.

KUALA LUMPUR: Kertas Matematik 1 bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga dipercayai telah bocor dan tersebar kepada umum sebelum lebih 400,000 calon peperiksaan awam itu menjawab kertas berkenaan pagi Rabu.

Seorang guru yang menghubungi Astro AWANI mendakwa menerima foto soalan-soalan dalam kertas berkenaan bersama jawapannya melalui WhatsApp pada pukul 7.40 pagi. Ujian Matematik Kertas 1 bermula pada pukul 8.15 pagi.

Guru itu yang enggan identitinya didedahkan menambah beberapa orang rakannya menerima soalan berkenaan lebih awal, sesetengahnya sejak petang Selasa.

"Soalan (Matematik) yang saya lihat (melalui WhatsApp) itu sama dengan apa yang keluar," katanya.

Menurut guru itu lagi, soalan bocor itu disebarkan dalam kalangan guru melalui aplikasi pesanan mudah alih tersebut.



Astro AWANI menunjukkan foto soalan-soalan Matematik Kertas 1 itu kepada calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Mereka mengesahkan soalan-soalan tersebut sama dengan yang kertas soalan yang mereka terima.

Lembaga Peperiksaan ketika diminta mengulas enggan memberi sebarang kenyataan.



Lembaga Peperiksaan pada petang Rabu mengumumkan penangguhan peperiksaan UPSR bagi kertas Sains untuk ketiga-tiga sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil selepas mendapati soalan bagi kertas itu bocor.

Peperiksaan bagi kertas Sains dijadualkan pada Khamis pukul 8.15 pagi, tetapi kini ditangguhkan kepada tarikh baru pada 30 September iaitu selepas cuti penggal persekolahan.

Menurut Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak siasatan awal pihaknya mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

"Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksinya meminta maaf kepada semua calon UPSR dan ibu bapa berhubung penangguhan itu.

Beliau berharap penangguhan itu tidak mengganggu tumpuan calon yang terpaksa menunggu sehingga selepas cuti sekolah ini untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

Sekolah akan bercuti selama seminggu bermula Jumaat ini, sehari selepas UPSR selesai.


Read more at:SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan