25 September 2014

BERITA MEMALUKAN UMNO...TERHEGEH-HEGEH DENGAN KENYATAAN MURAHAN.....


Abdul Khalid tidak terdesak untuk bersama UMNO



Pemimpin UMNO tidak perlu membuat publisiti murahan dengan mengaitkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai mesra Barisan Nasional atau UMNO.

Ini kerana sejak dipecat sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas Menteri Besar itu tidak pernah sekali pun menyuarakan hasratnya untuk bersama UMNO atau mana-mana parti politik.

Sehubungan itu, pemimpin UMNO tidak perlu bersusah payah membuat sebarang kenyataan murahan kerana Abdul Khalid kurang senang dengan kenyataan seperti itu.

Individu yang rapat dengan bekas Menteri Besar itu mempersoalkan apa tujuan dan matlamat sebenar pemimpin UMNO membuat kenyataan tersebut, sedangkan para penyokong Abdul Khalid melihat ia sebagai satu agenda tersembunyi.

"Mereka mungkin berbangga dengan kenyataan begitu tetapi bagi kami kenyataan itu jelas dan terang-terangan mahu mencetuskan isu kepada Abdul Khalid.

"Sedangkan Abdul Khalid tidak terdesak untuk berada dalam politik.

"Pada kami isu-isu macam ini seolah-olah mahu menutup pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar tanpa sokongan dengan menonjolkan cerita-cerita negatif Abdul Khalid," katanya yang mendakwa kenyataan seumpama itu dicetuskan oleh pemimpin UMNO yang mempunyai hubungan baik dengan Mohamed Azmin mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber itu mengaitkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan bahawa UMNO tidak menawarkan Abdul Khalid untuk menyertai UMNO.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata, Abdul Khalid yang mesra Barisan Nasional kini mempunyai agenda tersendiri bagi meneruskan perjuangan sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas.

Kata sumber itu lagi, pihak-pihak yang mencetuskan isu itu patut berasa malu kerana sifat mesra yang ditunjukkan oleh Abdul Khalid disalah erti sedangkan itulah sikapnya dengan semua orang.

"Setakat ini, sehingga hari ini Abdul Khalid tidak ada perancangan langsung tentang karier politiknya.

"Ini kerana mana-mana parti politik pun semuanya tikam dia (Abdul Khalid)," ujarnya. - Malaysia Gazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan