09 Ogos 2014
TERKINI: KETUA PENGARAH & 13 PEGAWAI KANAN ESSCOM DIKELUARKAN !!!!
Mohammad Mantek (kiri) dipindah keluar daripada Esscom.
KOTA KINABALU: Seramai 13 pegawai kanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Mantek telah dipindah keluar dari organisasi tersebut.
Antara yang turut dipindah keluar termasuk bekas Pengarah Bahagian Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Masrani Paiman, Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Osman dan Pengarah Perhubungan Awam dan Perkhidmatan Pengurusan, Abdul Rahim Ishak.
Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, Mohammad telah meletakkan organisasi tersebut di landasan yang betul sejajar dengan penubuhannya pada April 2013.
"Kami berterima kasih kepada mereka di atas segala sumbangan dalam penubuhan Esscom," katanya pada majlis perpisahan Mohammad dan beberapa pegawai lain di Lahad Datu pada Jumaat.
Difahamkan Mohammad hanya akan mengetahui jawatan terbaharunya pada minggu hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penstrukturan semula Esscom pada April lalu, setahun selepas organisasi tersebut ditubuhkan selepas pencerobohan di Lahad Datu, Februari tahun lalu.
Esscom ditugaskan untuk mengendalikan hal-hal keselamatan di 10 daerah yang terletak di pantai timur Sabah merangkumi dari Kudat di utara hingga Tawau di selatan.
Sementara itu, Mohammad berkata, langkah kerajaan untuk melaksanakan perintah berkurung selama 12 jam di enam perairan Sabah sejak 19 Julai lalu adalah satu tindakan yang tepat.
Beliau berkata, keadaan keselamatan di pantai timur bertambah baik sejak perintah berkurung yang bermula dari pukul 6 petang hingga 6 pagi dilaksanakan di perairan Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.
Jelasnya, serangan ke atas unit polis marin di Pulau Mabul pada 12 Julai lalu berjaya membuka mata semua dan merupakan satu peringatan kepada semua anggota keselamatan supaya lebih berwaspada.
Mohammad berkata, Esscom kini lebih ke hadapan dengan menempatkan lebih ramai anggota keselamatan dan aset pertahanan di pantai timur Sabah itu.
"Tiada lagi insiden pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu seperti yang kita lihat pernah berlaku di Kampung Tanduo. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah jenayah rentas sempadan membabitkan penculikan.
"Ini masih merupakan cabaran kepada Esscom. Kita berhadapan jenayah dari luar yang mendapat bantuan daripada mereka yang berada di dalam negara ini," kata Mohammad. ~Mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan