15 Jun 2014

MH370 : KELIBAT ANAK PULANG......

Pautan kekal imej terbenam

MH370: kelibat anak pulang

Wartawan Sinar Harian menemubual Saimah di rumahnya semalam.

TELOK PANGLIMA GARANG - “Makcik masih harap sangat anak pulang selepas beberapa kali bermimpi kelibat anak,” demikian luahan seorang ibu kepada penumpang MH370 yang hilang 8 Mac lalu.

Saimah Sidik, 71, ketika ditemui di rumahnya kelihatan tenang menceritakan penantian menunggu kepulangan anaknya, Muzi Yusop, 50, yang sering ke luar negara atas urusan kerja.

Menurutnya, sejak kehilangan anak sulungnya itu, dia bersama keluarga akan berkumpul selepas Solat Maghrib membaca doa untuk keselamatan anak dan penumpang MH370.

“Setiap hari makcik dan pakcik tidak berputus berdoa dan bersyukur anak-anak dan cucu lain turut serta berkumpul di rumah ini.

“Penantian ini sungguh mencabar kerana tiada satu pun keputusan rasmi dimaklumkan,” katanya yang sedang menunggu suaminya, Yusop Tahir, 71 pulang dari mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis di Telok Panglima Garang.

Saimah berkata, suaminya yang sudah uzur itu sebelum ini bagaikan tidak boleh berdepan dengan kehilangan Muzi namun apabila anak-anak lain memberi sokongan kepadanya, barulah dia tenang.

Katanya, sebelum ini, Yusop akan menitiskan air mata apabila mengenangkan anak lelakinya dan kadangkala meraung kerana terlalu rindukan Muzi.

“Walaupun pakcik kadang-kadang bertanyakan tentang Muzi sekarang, makcik hanya minta dia beristighfar dan sentiasa ingatkan ALLAH.

“Syukur dia kini kembali tenang dan boleh meneruskan aktiviti seperti biasa bersama anak dan cucu-cucunya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan