30 Mei 2014

SADA HANGPA JANGAN BAGI MALU KEDAH...ADA PENDUDUK 4 TAHUN MINUM AIR TIDAK DIRAWAT...


Penduduk terpaksa guna air bukit


Lebih 40 keluarga melibatkan kira-kira 200 penduduk Kampung Desa Keda Gulau di Sik berdepan masalah bekalan air bersih sejak empat tahun lalu dan terpaksa bergantung kepada sumber air bukit yang tercemar.

Apa yang membimbangkan penduduk, sumber air tidak dirawat yang digunakan untuk aktiviti seharian mereka itu kini, dikhuatiri tercemar akibat virus kencing tikus atau leptospirosis.

Pengerusi 4P (Pasukan Perancang, Pelaksana Projek) Kampung Desa Keda Gulau, Zainuri Abu Rahim, 52 berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi mendapatkan bekalan air bersih, namun sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan dilakukan pihak berwajib.

"Kami bimbang dengan keadaan air yang kami guna semakin teruk kerana warna bertukar setiap kali musim hujan dan bila musim kemarau kami berdepan masalah kekeringan air.

"Sesekali kami bersuara, air adalah untuk sehari dua dari pihak Sada (Syarikat Air Darul Aman). Lepas itu, kami terpaksa menggunakan sumber air yang tercemar untuk minum, mandi dan mencuci pakaian," katanya kepada Bernama di Sik.

Berikutan tiada bantuan dan sumbangan mana-mana pihak, 40 keluarga berkenaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli paip dan membuat takungan air dalam kawasan hutan secara gotong royong.

Seorang suri rumah, Suraya Bahari, 31, berasa kesal kerana masalah air di kawasan kampung berkenaan sudah berulang kali dimaklumkan kepada pihak terlibat namun tiada tindakan lanjut.

"Kami cukup kesal kerana terpaksa menggunakan air tercemar sejak lebih empat tahun lalu hingga kini dan tiada tindakan dilakukan selain janji yang diberikan pelbagai pihak... kami masih menunggu sampai ke hari ini", katanya.

Seorang penduduk, Tengku Zaidi Tengku Ahmad Yusoff, 42, berkata masalah air di kampung itu yang dihadapi lebih 40 keluarga sudah berlaku sekian lama dan tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.

Sementara itu, anggota Parlimen Sik Mansor Abd Rahman yang dihubungi Bernama berjanji akan melakukan tinjauan segera ke kawasan itu untuk mengenal pasti masalah penduduk berkenaan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan