20 Disember 2013

Panas ! Program Transformasi Putrajaya Gagal, Gantung The Heat Kerana Tidak Tahan ' PANAS' ...


Tidak tahan ‘panas’, Putrajaya gantung The Heat


Penerbitan akhbar The Heat digantung kemungkinan besar disebabkan artikel muka hadapannya yang menyentuh perbelanjaan boros perdana menteri dan isteri.

Program transformasi Putrajaya melangkah setapak lagi ke belakang selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung akhbar mingguan The Heat semalam, kemungkinan besar kerana artikel muka hadapannya mengenai cara perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Walaupun laporan sedemikian merupakan perkara biasa di portal berita atas talian, artikel The Heat dianggap “keras” kerana ia merupakan bahan bercetak dan disiarkan pada ketika Putrajaya memotong subsidi minyak dan gula, sementara harga tol, tarif elektrik dan harga pengangkutan awam akan meningkat tahun hadapan.

Sumber dalaman Putrajaya memberitahu, KDN mengambil tindakan itu kerana laporan tersebut membuat perdana menteri nampak buruk dan ini bukan satu kebiasaan bagi media arus perdana tempatan.


“Kamu dapat permit penerbitan, jadi kamu perlu tahu batas walaupun mahu mengkritik,” kata seorang pesara media kepada The Malaysian Insider.

“Ini hanyalah amaran supaya jangan bertindak melebihi batas walaupun PM mungkin tidak kisah tentang perkara ini,” katanya dan menambah kerajaan lebih risau tentang media cetak berbanding media atas talian.

Ironinya, Najib melonggarkan undang-undang penerbitan dua tahun lalu, iaitu permit penerbitan tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti sebelumnya. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri mempunyai hak untuk menggantung permit penerbitan seperti yang mereka lakukan kepada The Heat semalam.

Kali terakhir akhbar digantung adalah pada Febuari 2006 apabila Sarawak Tribune menyiarkan imej Nabi Muhammad yang merupakan satu pantang larang bagi umat Islam.

Sebelum itu, pada 1987 akhbar The Star dan beberapa akhbar berbahasa Mandarin digantung semasa Operasi Lalang.

Perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang yang menyaksikan lebih 100 ahli politik dan aktivis ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akhbar-akhbar berkenaan digantung untuk mempertahankan “keharmonian.”

Bagi Sarawak Tribune, permit penerbitannya digantung untuk meredakan kemarahan akibar penyiaran imej Nabi.

Kali ini, akhbar digantung permit penerbitannya disebabkan laporan mengenai pembaziran kerajaan yang menggunakan langkah populis mengekalkan kadar subsidi tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Pada ketika Parlimen diberitahu kediaman rasmi perdana menteri membelanjakan sebanyak RM2 juta setahun untuk bil elektrik, Putrajaya memulakan pemotongan subsidi bagi minyak dan gula, dan membenarkan peningkatan harga barang yang digelar “tsunami kenaikan harga barang” bagi rakyat biasa.

“Ada pandangan menyatakan bahawa Putrajaya berada jauh daripada realiti kehidupan sebenar. Mereka terus boros berbelanja apabila meminta rakyat Malaysia untuk berjimat,” kata seorang penganalisis politik kepada The Malaysian Insider.

Dalam keluaran pada 22 November, The Heat menulis: “Najib membina reputasi sebagai seorang kuat berbelanja, menggunakan dana awam yang kadang-kala menyebabkan kritikan umum. Sesetangah portal berita secara emosinya menggelar beliau dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai ‘pemboros.’

“Dalam banyak sesi Parlimen, soalan dibangkitkan dalam pelbagai aspek perbelanjaan, termasuk bil utiliti bagi kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya, penggunaan pesawat kerajaan untuk urusan rasmi, penggunaan perunding cara dan bajet besar untuk Jabatan Perdana Menteri.

“Rakyat harus tahu bagaimana wang pembayar cukai digunakan. Bagaimanapun, tidak terdapat akses penuh kepada maklumat itu. Satu-satunya sumber adalah sesi Parlimen dan ahli Parlimen pembangkang memainkan peranan sebagai pemantau,” tulis laporan tersebut yang masih berada di atas talian.

Tetapi Putrajaya mempertahankan keputusan tidak popular mereka untuk memotong subsidi dan kenaikan tarif, mengatakan mereka mahu menyelamatkan ekonomi dan mempertahankan keyakinan pelabur.

"Untuk mempertahankan ekonomi kukuh Malaysia, kita perlu menjadikan perbelanjaan kita terkawal. Ini bermaksud menaikkan beberapa kadar dan memotong beberapa subsidi.

"Sesetengah langkahnya mungkin tidak popular tetapi dalam tempoh sederhana ia baik untuk ekonomi dan rakyat," kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan semalam sebagai respon kepada tinjauan Merdeka Center yang menyaksikan kadar kelulusan Najib jatuh 10% kepada 52% bulan ini.

Menurut Kajian terbaru Merdeka Center, populariti Najib jatuh paling rendah sejak September 2009 (59%) dan menghampiri 45% pada Mei 2009, sebulan selepas mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Menggantung The Heat mungkin akan mengurangkan kritikan kepada perdana menteri. Tetapi akan dilihat tidak demokratik dan tidak boleh menerima kritikan,” kata seorang diplomat kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya tidak disiarkan.

“Ia merupakan satu langkah ke belakang tetapi beliau masih mempunyai empat tahun lagi,” katanya merujuk kepada pilihan raya umum yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan