12 Disember 2013

PANAS! PENGGUNA TIDAK PUAS HATI ISU TAMBANG LRT & MONOREL - TRENDING DI MEDIA SOSIAL

Isu tambang LRT, monorel dapat perhatian pembaca

SHAH ALAM - Kurang 24 jam berita mengenai kenaikan tambang pengangkutan jenis LRT dan monorel yang dimuat naik Sinar Harian Online hari ini mendapat sambutan hangat pembaca.

Setakat jam 8 malam tadi, berita yang sama dipaparkan dalam akaun media sosial Facebook Sinar Harian mencatatkan lebih 1,300 komen, manakala 242 yang lain berkongsi artikel tersebut.

Oleh kerana isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain belum reda seperti harga minyak, gula dan tarif elektrik, namun pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menarik pelbagai reaksi pembaca dan rakyat.

Secara keseluruhan, kebanyakan komen tersebut membantah kenaikan tersebut, tidak kurang pula secara menyindir menyokong tindakan kerajaan itu.

Menurut pemilik akaun 'Epit De Silver Top', rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata sedangkan pasaran dunia menentukan turun naik sesuatu barangan dan perkhidmatan.

"Alhamdulillah...semua naik...kita kena ikut pasaran dunia," katanya.

Pemilik akaun 'Pehe Rilek' pula senada kenyataan tersebut sambil menasihatkan rakyat menyokong usaha pembangunan negara tanpa kerap kali mempersoalkannya.

"Kita sebagai rakyat perlu sokong untuk pembangunan ekonomi negara...jangan tanya apa negara bagi kepada kita tetapi tengok apa sumbangan kita kepada negara," katanya.

Tidak kurang beberapa komen yang secara jelas menyelar dan menyalahkan kerajaan.

Antaranya, "TS Syed... sedang kaji cara-cara nak tambahkan susah orang... setiap kementerian sedang kaji apa yang boleh dinaikkan," kata pemilik akaun FB 'Amie SevenThree'.

Bagi Rodie Md Yusuf pula berkata,"kerajaan berjaya menambah perbelanjaan rakyat... pilih lagi kerajaan sedemikian, orang offer murah pun tak nak... terima saja laaa."

Tambang LRT, monorel pula naik?
WARTAWAN SINAR HARIAN -11 Disember 2013



Syed Hamid Albar


SHAH ALAM - Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.

"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.

"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api. "Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan pasaran saham pengangkutan awam," katanya.

Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.



NAIK HARGA: Apa lagi kerajaan mahu?

Oleh Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Belum reda lagi kemarahan rakyat tentang tindakan kerajaan menaikkan tarif elektrik, kini telah terdengar desas-desus bahawa tambang pengangkutan awam jenis LRT dan monorel pula akan dinaikkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Syed Hamid berkata, ini disebabkan faktor peningkatan tarif elektrik di samping bagi memastikan jangka panjang industri rel mapan serta mengurangkan kebergantungan sokongan kewangan kerajaan.

Tindakan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga tambang pengangkutan awam adalah rentetan 'penderaan' ke atas rakyat setelah pengumuman kenaikan tarif elektrik baru-baru ini.

Harga tambang pengangkutan awam jenis LRT dan monorel ketika ini sudah cukup membebankan rakyat di ibu kota dan dengan harga baru yang bakal diumumkan nanti akan menambahkan lagi beban yang ditanggung.

Pemuda PAS menolak sekeras-kerasnya hasrat kerajaan melalui SPAD untuk menaikkan harga pengangkutan awam itu kerana ianya akan menambahkan lagi beban rakyat khususnya di yang tinggal di ibu kota.

Kenaikan ini akan meneruskan episod kesengsaraan rakyat apabila sebelum ini dibebani dengan kenaikan harga minyak petrol, gula serta harga barangan keperluan dan yang terbaru, kenaikan tarif elektrik.

Pengumuman pelbagai kenaikan ini menzahirkan betapa tidak bertanggungjawabnya kerajaan kepada rakyat. Kerajaan seolah-olah hilang pertimbangan apabila sewenang-wenangnya menaikkan pelbagai harga tanpa rasa belas kasihan kepada rakyat.

Kerajaan perlu mendengar serta merasai denyutan nadi rakyat marhaen yang sedang dibebani oleh kos kehidupan semakin meningkat.

Saya kecewa dengan sikap kerajaan yang hanya tahu 'merompak' wang rakyat tetapi tidak langsung berusaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan perkapita rakyat.

Kerajaan tidak sepatutnya meletakkan tugas mereka untuk menyelesaikan masalah di bahu rakyat. Kerajaan tiada nilai kemanusiaan apabila tidak prihatin dengan bebanan yang rakyat tanggung ketika ini.

Timbul persoalan, berbagai harga telah dinaikkan, tidak cukupkah? Apa lagi kerajaan mahu?

1 ulasan:

  1. APA YANG TAK NAIK?

    Semua naik barang anik untuk kesejahteraan rakyat...
    Kak Mah pun Naik jet eksikutif.... Untuk keselamatan.... Sapalaaa trringin nak penaya TPM virtual ni......

    BalasPadam