30 November 2013

Maria Chin sedia pimpin Bersih tuntut reformasi pilihan raya

Pengerusi baru Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah aktif dalam aktiviti NGO sejak muda. 

Hampir empat dekad selepas mula menjadi aktivis ketika masih belajar di London dahulu, Maria Chin Abdullah kelihatan masih bersemangat selepas dipilih sebagai pengerusi baru Bersih 2.0 dalam pemilihan pemantau pilihan raya itu, hari ini.

Pada usia 57, kebanyakan wanita akan bersantai dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga mereka atau pada masa lapang, tetapi Maria mengaku hanya memiliki waktu terhad kebelakangan ini, malah ketiga-tiga anak yang tinggal bersamanya perlu menguruskan kerja masing-masing sendiri.

"Saya bernasib baik mereka sangat berdikari dan kami cuba untuk menghabiskan masa bersama pada hari Ahad, tetapi kadang-kala sukar. Kami cuba untuk bercuti sekeluarga dalam sekali setahun," katanya.

Kehidupan Maria dihabiskan banyak dalam kegiatan aktivis ketika beliau menuju alam kedewasaan. Aktiviti berpersatuannya bermula sebagai ahli Persekutuan di United Kingdom (UK) dan Pertubuhan Pelajar Eire Singapura-Malaysia pada pertengahan 1970-an, hasrat mulanya sekadar untuk mencari rakan.

Tetapi kemudiaannya hubungan persahabatan tersebut bertukar sebaik pulang ke tanah air, daripada sudut politik mahupun sosial.

"Ada rasuah dan dasar etnik yang dimainkan di Malaysia dan secara semula jadinya kami bimbang," katanya.

Pada masa itu di London, Maria mengakui mengetahui tentang mazhab Mao di sana, terutama kawasan kedai buku di Brixton.

Beliau merujuk kepada laporan media baru-baru ini mengenai Siti Aishah Abdul Wahab, yang merupakan antara tiga wanita diselamatkan bulan lalu dari sebuah rumah di London, selepas mereka didakwa diperhambakan oleh pengamal mazhab Mao. Namun, Maria tidak mengenali Siti Aishah.

Maria kemudiannya pulang ke Malaysia pada 1985 dan terus melakukan kerja advokasi wanita, di mana dia dan beberapa orang lain menubuhkan Awam (Persatuan Pergerakan Wanita).

Sekembalinya di Malaysia, Maria kemudiaan berkawan rapat dengan seorang lagi aktivis, allahyarham Yunus Ali dan kemudiaan berkahwin pada 1993. Ia selepas Yunus ditahan di bawah Ops Lalang selama dua tahun (1987-89).

"Kami mempunyai banyak persamaan, terutamanya apa yang berlaku di negara ini. Arwah berminat dalam hak wanita, suatu yang agak berlainan,” katanya.

Maria berkata, apabila beliau menubuhkan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) yang bekerja untuk membantu wanita dan belia terpinggir, Yunus turut membantu menjalankan latihan gender dan peserta menerima beliau dengan baik.

"Beliau komited untuk keadilan dan keperluan seseorang menjadi lebih telus dan bertanggungjawab. Pada tahun 1970-an , ketika dia bersama Hisham, mereka komited untuk memastikan mereka boleh membawa perubahan," katanya merujuk kepada rakan suaminya, aktivis Hishamuddin Rais .


Allahyarham Yunus Ali ketika di Afghanistan mematau pilihan raya di sana pada 2009. Gambar daripada Facebook Yunus Ali.Yunus terlibat dalam pemantauan pilihan raya antarabangsa, manakala Maria terlibat dengan Bersih, bersama-sama dengan penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.

"Pemantauan pilihan raya dalam proses pengundian di negara-negara lain dan reformasi pilihan raya adalah dua isu yang berbeza, jadi kami secara efektifnya melakukan perkara yang berbeza,” katanya.

Yunus meninggal dunia pada 2010.

Bersih 2.0

Maria berkata, keutamaannya adalah memberi Bersih 2.0 struktur yang betul dengan pilihan raya sendiri untuk memudahkan perkembangannya di kawasan yang berbeza di dalam negara ini.

"Kami berkembang dan menubuhkan kerusi di beberapa negeri. Kami mahu mengukuhkan Bersih dan ia bukan hanya tentang Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

"Walaupun kami mempunyai jawatankuasa kecil daripada lima ahli di peringkat kebangsaan, terdapat enam ahli di setiap wilayah. Kami mahu Bersih dilihat sebagai gerakan bagi rakyat Malaysia yang selangkah ke depan,” katanya.

Maria berkata, pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah lama bertapak di Malaysia dan banyak NGO ditubuhkan sebelum Bersih bermula lagi, seperti memperjuangkan pendidikan pemilih dan alam sekitar, sebagai contoh Himpunan Hijau .

Katanya, pergerakan NGO di negara ini sedang diperkukuhkan dan Bersih memberikan kesan yang jelas kepada banyak kumpulan advokasi lain.

Bagi jangka masa pendek, tumpuan adalah kepada proses persempadanan semula dengan menegaskan pendirian Bersih adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu terlebih dahulu membersihkan daftar pemilih pengundi sebelum persempadanan dijalankan semula.

"Orang ramai tidak boleh mengundi hanya menggunakan kad pengenalan. Pada zaman British, IC bermakna bahawa anda seorang warganegara.

"Sekarang jika anda mempunyai MyKad, persoalannya ialah berapa banyak yang anda dibayar untuk itu? Satu MyKad bukan lagi bukti anda seorang warganegara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran sukar, Bersih berjaya membawa beberapa perubahan drastik seperti tuntutan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum Mei lalu.

"Ia bertukar menjadi kemelut tetapi kemudiaannya diperkenalkan juga, ia adalah bukti SPR mengambil berat," katanya.

Di samping itu, Maria juga mengecam bekas Pengerusi SPR. Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang baru-baru ini menyatakan tiga persempadanan yang dirangka semula sebelum ini dilakukan untuk memastikan orang Melayu kekal berkuasa, menimbulkan persoalan kredibiliti terhadap SPR itu sendiri.

"Dia pada dasarnya mengatakan 'jadi apa masalahnya, kami sedang lakukannya'. Ia tidak masuk akal dan menunjukkan bagaimana mereka tidak menerima pendapat orang ramai," katanya.

Apabila ditanya sama ada Bersih 2.0 dibawah pimpinannya akan bekerjasama dengan SPR, Maria berkata, beliau akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Maria juga tidak menolak demonstrasi Bersih 4.0 berkemungkinan akan diadakan.

"Kami mahu SPR mengubah sistem dan ia perlu bermula dengan proses merangka persempadanan semula. SPR tampil dan berkata ia bukan bertujuan mengekalkan kuasa sesiapa dan mereka perlu merujuk kepada rakyat.

"Jika mereka tidak, mereka perlu menghadapi kemarahan rakyat," katanya sambil menambah pelan merangka persempadanan semula mungkin akan dibawa dalam mesyuarat Parlimen pada Mac tahun depan.

Selain itu, Bersih juga sedang mengkaji mengenai sistem pilihan raya first-past-the-post (FPTP) kerana walaupun parti mendapat majoriti undi daripada pengundi tetapi mereka masih tidak dapat membentuk kerajaan.

Risiko advokasi

Maria tahu risiko menjadi aktivis dan berkata bahawa " tangkapan adalah suatu yang sudah dijangkakan".

Bagaimanapun, katanya, semua pejuang hak asasi manusia berkongsi risiko yang sama.

"Kerajaan tidak memahami ini adalah kebebasan kita untuk bercakap mengenai hak asasi manusia, jadi mereka menggunakan ancaman, fitnah atau meletakkan anda di dalam penjara," katanya

Maria bersedia untuk menggalas sebarang risiko mendatang setelah dipilih menerajui Bersih.

Apabila ditanya bagaimana beliau akan bertindak balas jika sekumpulan orang tidak berpuas hati mengadakan bantahan di depan rumahnya, serupa dengan apa yang berlaku kepada bekas pengerusi bersama Bersih,Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria ketawa.

"Saya harap mereka tidak akan begitu bodoh untuk melakukannya sekali lagi, yang memakan diri sendiri,” katanya.

Pada Mei lalu, ahli kumpulan yang mengaku sebagai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia melakukan beberapa siri "latihan punggung " di hadapan rumah Ambiga.

Maria menggambarkan pengalaman bekerja dengan Ambiga dan bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said sebagai suatu saat yang indah.

"Selain Ambiga dan Pak Samad, seluruh jawatankuasa bekerja dengan baik bersama-sama. Sudah tentu, kita memang mempunyai perbezaan tapi kami dapat berbincang dan membuat keputusan berdasarkan matlamat yang sama,” katanya.

Maria bersetuju bahawa perjuangan Bersih adalah sama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka mahu kekal bebas.

"Kami menjemput Barsian Nasional untuk menyertai kami. Malangnya, mereka melihat kami sebagai musuh.

"Kami memberikan mereka maklum balas yang membina tentang bagaimana kita boleh memperbaiki bersama-sama. Mereka tidak menerimanya kerana ia mencabar kuasa mereka, jadi mereka menggunakan taktik kotor. Mereka memfitnah kami. Mereka menafikan ruang media. Mereka membuat tuduhan kepada anda, itu bukan tingkah laku kerajaan yang matang,” katanya.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk pergi merentasi lautan untuk bercakap tentang hak asasi manusia dan kesaksamaan, tetapi di negaranya sendiri, tidak berlaku di negara sendiri.

Beliau berkata, selepas aktivis pelajar di Malaysia ditindas pada 1970-an , Bersih adalah permulaan satu mobilisasi besar-besaran rakyat.

"Selepas penindasan , tidak banyak yang berlaku sehingga Bersih mengambil langkah ke jalan raya pada tahun 2007. Rakyat menguatkan kita untuk bertindak,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai kini bercakap mengenai buah fikiran mereka, dan ia sangat jelas dalam forum dan perbincangan yang berlaku di media sosial seperti Twitter serta Facebook dan ini adalah satu tanda positif untuk masa akan datang.

1 ulasan:

  1. Syabas Maria, saya bersama anda walaupun badan dimamah usia (66) untuk turun kejalan Ayoh bila saja.
    Demi keadilan dan ketelusan SPR dan Pilihan Raya.....

    BalasPadam