22 November 2013

ISU ROSMAH NAIK JET: Azalina bakal berdepan masalah...


Akhirnya persoalan atau 'ogehan' yang dibuat ahli Parlimen pembangkang mengenai penggunaan jet peribadi milik kerajaan oleh isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor terjawab. Berbaloilah ahli Parlimen pembangkang membangkitkanya bertalu-talu di Dewan Rakyat.

Pada sidang Selasa lalu ahli Parlimen pembangkang ingin mendapat penjelasan pihak kerajaan atas kapasiti apakah Rosmah Mansor diberikan keistimewaan menggunakan jet peribadi semasa lawatannya ke Qatar.

Antara yang bersabung mulut dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim mengenai perkara ini ialah ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali, Pokok Sena Mahfuz Omar dan lain-lain. Ahli Parlimen Pasir Mas bagaimana pun tidak pula kedengaran menyampuk.

Bagi ahli pembangkang keistimewaan itu tidak sepatutnya diterima Rosmah kerana ia menyalahi peraturan (SOP kerajaan) kerana isteri perdana menteri tidak mendapat hak berkenaan. Jadi pembangkang menyifatkan ia sebagai satu penyalahgunaan kuasa maka penjelasan konkrit diperlukan.

Bagaimana pun Shahidan Kassim yang menjawab persoalan itu cuba mengelak dengan pelbagai helah termasuk mengatakan ia adalah keputusan kabinet yang berbentuk rahsia.

Menurutnya keputusan itu tidak boleh dipertikai kerana ia amalan biasa. Pembangkang tidak berpuas hati dan terus mempersoal dan mengasak Shahidan dengan membangkitkan apakah Rosmah telah menjadi wakil rasmi kerajaan?

Persoalan pembangkang itu tertangguh setakat itu apabila Shahidan pengecut untuk memberi penjelasan sebenarnya. Ada ketikanya dia kelihatan terkulat-kulat seperti cicak kemabukan kapur, dan persis kura-kura makan sirih kerana hilang akal dan kehabisan hujah hendak menghentikan desakan pembangkang itu.

Sehinggalah semalam, Rabu, isu penggunaan jet itu timbul sekali dan kali ini dapat merungkaikan permasalahan itu apabila ia dijelaskan oleh ahli Parlimen Pengereng Azalina Othman Said yang memberi tahu beliau juga ikut sama dalam lawatan Rosmah ke Qatar itu.

Azalina menjelaskan pemergian Rosmah ke Qatar itu atas undangan peribadi pihak di Qatar manakala yang meluluskan penggunaan jet itu Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin. Penjelasan Azalina ini seumpama memecahkan tong pekasam busuk di Parlimen yang menyumbat ke lubang hidung kerajaan.

Apakah Rosmah ada mengarahkan Azalina menjawabnya, atau saja-saja atas inisiatif bekas menteri pelancongan itu saja? Azalina mungkin berniat baik apabila beliau memberi penjelasan dan pengakuan itu. Tidak mungkin ada persepakatan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri.

Dapat disimpulkan sini, hajat Azalina ialah untuk menghentikan pengheretan isteri Perdana Menteri dalam kes yang jelek itu. Apa yang Azalina inginkan agaknya supaya jangan cemarkan nama wanita pertama Malaysia itu dengan isu-isu penyalahgunaan kuasa dan fasilitis yang menjadi hak suaminya sebagai Perdana Menteri itu.

Sebagai bekas menteri kabinet dan juga peguam, Azalina mungkin menyedari akan apa yang berlaku itu, bahawa Rosmah tidak berhak pun mendapat kemudahan itu. Makanya kenapa beliau berbuat begitu, mungkin ada tujuan di sebaliknya?

Harapan Azalina dengan penjelasan itu ia akan menamatkan isu berkenaan, boleh jadi. Bagaimana pun manusia hanya boleh merancang tetapi perancangan Tuhan lebih tepat. Azalina berharap demikian tetapi sebaliknya beliau terlupa dengan penjelasan secara berterusan-terang begitu bakal menimbulkan masalah sampingan lain. Penjelasan Azalina itu secara tidak langsung menjelaskan pula tindakan politik Muhyiddin yang memberi kelulusan jet itu untuk Rosmah.

Bagi pihak Azalina, orang akan menganggap tindakannya itu hendak membela isteri Perdana Menteri tetapi berlainan pula dengan persepsi atas kesediaan Muhyiddin itu. Orang akan beranggapan Muhyiddin sengaja berbuat begitu kerana ada motif politik.

Yang mungkin diharapkan Muhyiddin ialah, orang akan membenci Rosmah kerana stail dan 'kemanggakan'nya sebagai isteri Perdana Menteri. Apabila Rosmah menggunakan jet negara, ia sudah tentu akan menambah kebusukan dan kemualan rakyat kepadanya. Ia akan memberi gambaran Rosmah lebih hebat berbanding dengan isteri bekas PM sebelum ini Siti Hasmah Mohd Ali, atau arwah Hendon. Natijah kelakuan dan sikap arragont Rosmah itu akan damage Najib.

Muhyiddin yang akan untung dalam hal ini? Dalam hal ini Muhyiddin boleh dikira bijak kerana dia boleh mencemar kain dari belakang dan depan. Najib dan Rosmah akan berterima kasih atas ketanggungjawaban membenarkan Rosmah menggunakan jet tetapi dalam masa sama ia mencemarkan Rosmah dan Najib sama.

Cuma dalam hal ini yang agak malang sedikit ialah Azalina. Niat beliau ingin membela dan berbudi mungkin memberi kesan lain kepadanya. Rentatan isu itu menyebabkan beliau akan dipersalahkan kerana berteru- terang mendedahkan keadaan sebenar. Tidak mustahil selepas ini pendedahan Azalina itu akan memakan dirinya sendiri. Rosmah akan menunding jari dan mengherdik kepadanya. Nasib Azalina boleh jadi kelam.

Orang tahu hubungan beliau dengan muslimat pertama Malaysia itu baru pulih. Sebelum ini hubungan mereka dikatakan retak dan tidak begitu 'ngam'. Antara faktor mengapa Azalina tidak dilantik ke dalam susunan kabinet pertama Najib ialah katanya kerana campur tangan Rosmah.

Azalina pernah menceritakan hal kepada saya pada satu ketika macam mana dia diajar memujuk Rosmah untuk membolehkan dia dilantik dalam kabinet Najib. Peristiwa pertemuan saya dengan Azalina ini di Shah Alam menjelang Aidifitri akan dicatat pada posting lain, jika perlu.

Kesimpulannya isu jet ini memberi keuntungan besar kepada Muhyiddin dan menjejaskan moral Najib dan Rosmah. Kesakitan yang bakal dirasai kelak ialah Azalina Othman Said. – msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan