Mereka yang ditahan adalah ADUN Cennah, Anthony Loke Siew Fook; ADUN Nilai, Arul Kumar; ADUN Bahau, Chew Seh Yong; ADUN Temiang, Ng Chin Tsai; Ahli Parlimen DAP Rasah, Teo Kok Seong; Setiauaha Agung PSM, S Arutchelvan dan beberapa aktivis lain.
Mereka ditahan kira-kira jam 11.30 pagi tadi apabila S Arutchelvan bertengkar dengan seorang polis ketika anggota polis itu sedang memasang lingkaran kepungan bagi merobohkan sebuah daripada rumah penduduk kampung.
Akhirnya, Arul dan seorang aktivis PSM digari dan dimasukkan ke dalam kenderaan polis.
Wakil rakyat DAP pula ditahan pada sebelah petang kerana ‘menawan’ rumah kelab alumni SRJK (C) Chi Chi yang kemudiannya dirobohkan.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila kira-kira 200 penduduk kampung dan aktivis menghalang pemaju dengan membuat rantai manusia di hadapan dua rumah sehingga berlaku kekecohan apabila pihak polis cuba menyuraikan mereka.
Sebelum ditahan, ADUN DAP Chennah yang juga Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook mengadakan rundingan dengan peguam pemaju yang dikenali sebagai Shari untuk menangguhkan kerja-kerja meroboh itu.
Beliau mahu kerja meroboh itu ditangguhkan sementara kes ‘perintah penggantungan pelaksanaan’ yang difailkan penduduk kampung didengar di Mahkamah Tinggi Seremban, nanti.
Mengikut sejarah, British membawa penduduk asal kampung itu sebagai pekerja lombong bijih timah berhampiran kawasan mereka ditempatkan dan sehingga saat ini, kampung Hakka Mantin yang dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur, rumah ibadat dan sebagainya telah diwarisi hingga generasi kelima.
Malangnya, pada 1998 penduduk kampung dikejutkan dengan tindakan kerajaan BN negeri itu apabila mendapati tanah rezab kerajaan negeri dijual kepada syarikat pemaju, Mega 9 Sdn Bhd tanpa pengetahuan mereka untuk dibangunkan menjadi ‘Mantin New Township’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan