19 Oktober 2013
Panas ! “Cuma kalau Mukhriz kalah, masaklah Najib kena dengan Mahathir,”
Politik wang terlalu mahal, calon Umno kempen secara berkumpulan
Di saat-saat akhir sebelum bermulanya pemilihan bagi jawatan tertinggi dipertandingkan Umno seperti Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT), calon-calon terpaksa bekerjasama secara berkumpulan untuk menampung politik wang yang terlalu mahal dalam parti Melayu terbesar itu.
Walaupun objektif sistem pemilihan baru bertujuan mengekang politik wang, seorang wakil calon kepada seorang calon MT Umno memberitahu, beliau bersama wakil-wakil calon lain terpaksa bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan mereka dapat menampung kehendak perwakilan-perwakilan yang kini semakin ramai disebabkan sistem pemilihan baru digunakan kali ini.
“Perwakilan ada yang minta RM300 seorang, ada yang minta RM500 seorang. Tengok tempat,” The Malaysian Insider diberitahu seorang wakil calon kepada seorang menteri yang tidak mahu dikenali.
“Jadi untuk tampung kos yang ‘mahal’ ini. Kami kempen secara berkumpulan. Kita guna ‘chai’, jadi semua calon donate untuk bayar kepada perwakilan. Katalah dalam RM50 seorang,” katanya.
Buat pertama kali dalam sejarah, 146,000 anggota akar umbi akan menentukan saf kepimpinan tertinggi parti itu dalam pemilihan hari ini.
Anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti pada 2009 ke arah pemilihan lebih terbuka dan telus melalui sistem "electoral college", yang bertujuan membasmi gejala politik wang.
Seorang lagi wakil calon kepada calon MT memberitahu jika tidak menggunakan wang, sudah pasti calon-calon yang bertanding akan dikalahkan.
“Perwakilan nak pemimpin-pemimpin berkongsi sikit sahaja daripada apa yang mereka ada. Kalau tak bagi, bersedialah untuk kalah.
“Jadi kami kenalah bekerjasama untuk tampung wang yang nak diberi kepada perwakilan,” katanya yang berkempen untuk seorang calon dari Utara.
Sebelum ini, nasib pemimpin tertinggi Umno hanya ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu.
Sebanyak 71 calon akan bertanding merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi Tetap (tiga calon), Naib Presiden (enam) dan anggota MT (62).
Tumpuan adalah kepada enam calon naib presiden iaitu tiga penyandang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal yang akan berhadapan dengan Tan Sri Mohd Isa Samad, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Mahathir.
Kedua-dua sumber itu juga mengesahkan terdapat arahan daripada pemimpin tertinggi Umno untuk mengekalkan ketiga-tiga penyandang naib presiden Umno.
“Untuk calon VP, kami akan kekalkan yang sedia ada. Itu arahan atas. MT bebas,” katanya yang baru tiba dari negeri utara itu.
“Cuma kalau Mukhriz kalah, masaklah Najib kena dengan Mahathir,” katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.
Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden dan timbalan presiden Umno oleh kerana kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan.
Pemimpin veteran Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam berkata parti Melayu itu kekal di takuk lama sekiranya politik wang masih digunakan oleh segelintir calon.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, selain tiada kemajuan yang dapat ditunjukkan, Umno juga bakal rosak kerana calon gagal mematuhi peraturan terutamanya melibatkan politik wang.
Katanya, matlamat asal Umno menukar sistem pemilihan yang memberi kelayakan kepada lebih 145,000 perwakilan mengundi adalah untuk mengelakkan rasuah dan politik wang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan