29 Oktober 2013

HOT! TUN M MULA BELASAH NAJIB


Dr Mahathir umpama singa cedera, Najib akan kena lebih teruk

PAS yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat perkara yang lebih besar lagi selepas menyerang secara terbuka kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar), berkata Dr Mahathir umpama singa yang cedera selepas kekalahan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir dalam pemilihan Umno lalu.

“Saya jangka serangan Dr Mahathir terhadap Najib akan lebih teruk lagi berbanding serangannya ke atas Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebelum ini," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.


Dr Mahathir hari ini menyifatkan pentadbiran Najib lemah disebabkan melayan kehendak ekstremis pembangkang serta semakin kurang mendapat sokongan.

Bekas Perdana Menteri itu belum pernah mengkritik pentadbiran Najib sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada April 2009 malah pernah memuji pemerintahan Najib lebih baik berbanding Abdullah.

“Keadaan politik sekarang tidak stabil kerana wujud persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul memimpin negara.

“Kita mempunyai kerajaan yang lemah kerana kurang sokongan rakyat selain memenuhi keperluan ekstremis dalam puak pembangkang.

“Apa yang paling teruk adalah mereka membuat tuntutan melampau untuk meninggalkan kerajaan apabila permintaan tidak dipenuhi. Jika anda fikir mereka akan mengucapkan terima kasih dan memberi sokongan. Ia satu kesilapan,” kata Dr Mahathir ketika berucap di Putrajaya dalam ucapannya bertajuk "Trend Politik Semasa serta Kesan kepada Hala tuju Ekonomi dan Sosial Malaysia."

Dalam pemilihan Umno baru-baru ini, Mukhriz gagal untuk merebut salah satu kerusi Naib Presiden Umno apabila mendapat tempat keempat selepas Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Ia menjadi luka yang besar kepada Dr Mahathir dan bakal menjadi dendam kepada Najib kerana perdana menteri itu disifatkan sebagai pihak yang berusaha memastikan penyandang jawatan naib presiden Umno itu kekal.

Kekalahan Mukhriz kali ini mengulangi kekalahannya ketika merebut jawatan Ketua Pemuda Umno di tangan Khairy Jamaludin Abu Bakar.

"Saya rasa Najib akan lebih teruk dilanyak Mahathir berbanding ketika beliau melanyak Pak Lah kerana dia dikatakan menyalahkan Najib atas kesalahan anaknya itu," kata Salahudin yang bakal mempertahankan jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan kali ini.

Ketika Abdullah menjadi perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir menyerangnya sehingga menyebabkan penggantinya itu meletakkan jawatan selepas gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke -12 (PRU12) lalu.

Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 selepas Abdullah mengosongkan jawatan itu.

Tetapi pencapaian Najib lebih teruk daripada Abdullah dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu apabila kerusi yang dimenangi pembangkang lebih banyak walaupun berjaya merampas kembali Kedah.

Kejayaan mendapat semula Kedah dianggap kejayaan peribadi Dr Mahathir dan anaknya dan bukan kejayaan Najib selaku perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan