01 September 2013

Ketua Pemuda MIC pula ditahan



Ketua Pemuda MIC, T.Mohan ditahan polis ekoran tindakan mempertahankan sebuah kuil dari di robohkan.

Beliau dibawa menaiki kereta polis dengan bergari. Semua jawatankuasa kuil pula duduk di tempat berhala iaitu bahagian terakhir sebelum kuil itu dirobohkan.T.Mohan antara lapan ditahan kerana cuba halang petugas DBKL
 Polis bertindak menahan lapan orang yang terdiri dari ahli politik dan aktivis kerana cuba menghalang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa cuba merobohkan Kuil Hindu Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P.Ramlee pagi tadi.

Kesemua mereka termasuk Ketua Pemuda MIC, T.Mohan, Timbalan Ketua Hak Asasi PKR, S.Jayathas dan setiausaha kuil tersebut, R.Nalini ditahan berperingkat-peringkat sekitar jam 9 pagi hingga 1 tengah hari oleh polis yang dikerah di tempat kejadian.

Polis kemudiannya meminta pihak kontraktor dan pegawai DBKL supaya menghentikan kerja dan meninggalkan tempat tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad dalam pesanan ringkasnya kepada Astro Awani berkata mereka ditahan untuk dirakam percakapan berkaitan insiden tersebut.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu DBKL bukanlah mahu merobohkan kuil tersebut tetapi mereka sekadar mahu mengalihkan patung di kuil tersebut ke satu tempat yang selamat untuk kerja-kerja penyelenggaraan struktur jalan di hadapan kuil tersebut,” kata Zainuddin.

Beliau menambah, patung itu akan diletakkan semula selepas kerja-kerja penyelenggaraan itu selesai.

Menurutnya lagi, disebabkan perselisihan faham itu beberapa orang cuba menghalang anggota DBKL tersebut dari melaksanakan tugas mereka.

Kesemua yang ditahan kini telah dilepaskan setelah percakapan mereka direkodkan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dari melakukan tugas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan