29 September 2013

FAS PERLU BERDIKARI, ORANG POLITIK PATUT GUNA OTAK SILA SEMAK FAKTA DULU......

FAS Usah terlalu manja 

Polemik berhubung bola sepak Selangor tiba-tiba menjadi hangat apabila berlaku 'perang mulut' di media massa antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan PAS Selangor, Sany Hamzan dan Khalid Samad. Mungkin ada hikmahnya jika rakan Pemuda PAS semak dahulu fakta dan statistik yang berkaitan sebelum membuat sebarang kenyataan yang dikhuatiri akan memberikan persepsi yang salah mengenai situasi sebenar di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Persoalan pokok yang ditimbulkan ialah FAS kekurangan dana tajaan kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI). Namun, pasti ramai yang tertanya-tanya berapa agaknya jumlah tajaan kerajaan negeri yang disalurkan melalui MBI sehingga didakwa 'tidak cukup', lantas menyebabkan kemungkinan pemain-pemain bertaraf bintang ini berpindah ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT)?

Semakan sepintas lalu yang dibuat, pihak MBI dilaporkan menyalurkan dana tajaan kepada FAS berjumlah RM8 juta setiap tahun. Demi berlaku adil, penulis juga perlu menyemak jumlah yang diperuntukkan kerajaan negeri kepada pasukan bola yang terbaik prestasinya setakat ini iaitu pasukan negeri Kelantan. Dalam Berita Harian Online bertarikh 13 Julai 2010, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Rosmadi Ismail mendakwa bahawa KAFA tidak pernah memperolehi sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak beliau memegang jawatan tersebut iaitu sejak tahun 2000 lagi.

Namun demikian, sumber dalaman kerajaan negeri Kelantan menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak memberikan dana kepada persatuan bolasepak iaitu KAFA, sebaliknya menyalurkan secara terus peruntukan dan imbuhan kepada pemain dan pegawai. Dilaporkan juga jumlah yang diberi setakat ini dalam bentuk kewangan adalah sebanyak RM85,000. Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk insentif tanah dan rumah, yang pernah ditawarkan kerajaan negeri sebelum ini.

Ternyata, jika dibandingkan jumlah bantuan kewangan daripada kerajaan negeri yang diterima oleh KAFA dengan yang diterima oleh FAS hakikatnya ibarat langit dan bumi. Namun, isu kekurangan dana tersebut langsung tidak pernah dijadikan alasan oleh KAFA untuk gagal melakar kejuaraan.

Dalam tempoh di antara 2010 hingga 2012 sahaja, pasukan negeri Kelantan atau lebih sinonim dengan jolokan 'Red Warrior' memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali iatu pada 2010 dan 2012. Selain Piala Malaysia, pasukan ini memenangi kejuaraan Liga Super sebanyak dua kali iaitu bagi 2011 dan 2012.

Persoalannya, di mana pasukan ini memperolehi dana untuk menampung kos operasi persatuan? Jawapannya adalah melalui tajaan korporat. Untuk musim 2012 sahaja, pasukan Red Warrior memperoleh tajaan korporat daripada lapan firma yang berlainan iaitu Syarikat Telekomunikasi Happy, Syarikat Al - Hamra, Universiti Masterskill, minuman bertenaga RW Energy, Sinar Harian,Warriors (Produk Bawah KAFA), Yusmira Trading dan Umbro.

Seterusnya, mari kita bandingkan pula dengan dana yang diperolehi oleh FAS yang mengendalikan pasukan Selangor. Seperti yang tertera pada lawan web persatuan, pasukan yang gah dengan jolokan 'Red Giant' ini hanya memperolehi dana tajaan daripada kerajaan negeri iaitu melalui MBI dan Kappa, yang menaja jersi pasukan.

Dengan hanya dua penaja utama sahaja, jumlah RM8 juta yang diperuntukkan adalah jauh lebih besar berbanding bantuan yang diberi oleh kerajaan negeri lain kepada pasukan bola sepak negeri masing-masing. Ini belum lagi dibincangkan dana tajaan yang diterima oleh pasukan PKNS FC yang pastinya juga diperolehi daripada GLC yang sama.

Justeru, penulis merasakan FAS perlu segera keluar daripada zon selesa. Sebagai satu persatuan yang sudah lama bertapak dan teguh kewangannya, FAS perlu lebih kreatif dalam menjana dana bagi membiayai segala kos operasinya agar tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan negeri sahaja yang sudah tentu ada banyak kekangan lebih-lebih lagi jika disorot dari perspektif keutamaan perbelanjaan.

Jika diamati lebih dekat, FAS adalah antara persatuan bola sepak di Malaysia yang memiliki banyak aset yang berpotensi besar menjana pendapatan. Justeru, manfaatkanlah sepenuhnya aset-aset tersebut sebagai salah satu sumber utama menjana pendapatan.

Penulis juga ingin menyeru agar FAS belajar daripada pengalaman, usaha dan keupayaan KAFA untuk mendapatkan tajaan korporat. Jika KAFA boleh, mustahil FAS yang jauh lebih banyak pengalaman dan bersandarkan rekod cemerlang ini tidak boleh. Sememangnya, FAS dan Red Giant bukan nama kecil dalam arena bola sepak nasional. Dengan rekod 32 kali kejuaraan Piala Malaysia, Red Giant berada di kelas yang tersendiri dalam persada sukan tanah air.

Dengan memberi alasan tidak cukup suntikan kewangan negeri lantas mewajarkan kegagalan demi kegagalan bukanlah sikap sang juara. Malah kadang kala kedengaran seperti anak yang merengek-rengek kepada si bapa pula. Cukuplah, usah terlalu manja.

Sedarlah bahawa rakyat negeri Selangor belum hilang keyakinan terhadap Red Giant dan masih setia menanti 'gergasi merah' yang sedang tidur ini segera bangkit untuk menakluki semula arena bola sepak negara! Bertindaklah segera sebelum terlambat wahai FAS! Jangan sampai peminat Red Giant hilang kepercayaan dan muak dengan alasan demi alasan yang tidak munasabah.


Oleh : Haris Abdillah -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan