14 Ogos 2013

Peniaga Yang Mati Semalam Sebenarnya Ditembak, Bukannya Ditikam


Dungun: “Saya menjerit sebaik melihat darah membasahi badan suami,” kata Nor Zuedawati Umar, 25, apabila melihat suaminya terbaring tidak bernyawa selepas dipercayai ditembak penjenayah di tempat letak kereta berhadapan Restoran Nasi Kukus Paka 3, Jalan Besar, dekat Kampung Cacar, Paka, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Lutpi Mansor, 50, ditembak selepas bergelut dengan suspek yang disyaki mahu mencuri pacuan empat roda Toyota Hilux milik mangsa, jam 4.30 pagi.

Dalam kejadian sama, wang RM10,000 hasil jualan lima cawangan restoran milik mangsa serta kenderaan berkenaan turut dilarikan. Ketika kejadian, mangsa yang juga pemilik restoran berkenaan dalam perjalanan dari kedainya untuk memasukkan wang hasil jualan ke bank sebelum didatangi suspek dan berlaku pergelutan.

ANGGOTA polis mengangkat jenazah mangsa untuk dihantar ke hospital.
Nor Zuedawati berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suami selepas dimaklumkan adiknya, Mohd Zulropia, 21, yang pulang ke kedai jam 7.30 pagi.

“Ketika itu, saya berada di tingkat atas restoran sebelum terdengar adik menjerit memanggil nama saya dan memaklumkan suami cedera dipercayai akibat ditembak.

“Sebaik turun, saya terkejut melihat keadaan suami berlumuran darah dengan beberapa kesan cedera di dada.

“Saya berada di tingkat atas dan tidak mendengar pergelutan atau bunyi bising yang berlaku antara suami dan suspek sehingga dimaklumkan adik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, menjadi kebiasaan suaminya keluar rumah pada jam 4.30 pagi untuk memasukkan wang hasil jualan perniagaan sebelum ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Subuh.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga dan tidak menyangka penjenayah bertindak kejam hingga membunuh suaminya.

“Isteri mana tidak sedih melihat keadaan suami yang lengkap berpakaian baju kemeja, kain pelekat dan berkopiah dalam keadaan tertiarap serta tidak bernyawa.

“Walaupun pemergian arwah begitu mengejut, namun saya reda dengan kejadian menimpa suami,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia empat bulan dan empat tahun itu.

Ditanya mengenai perubahan pelik suaminya, Nor Zuedawati berkata, arwah suaminya tidak menunjukkan perubahan pelik, malah dia dan suami sempat berbual dan bergurau sebelum masuk tidur jam 1 pagi.

Berita Yang Dilapurkan semalam :

Peniaga nasi kukus pula mati dibunuh

Pemilik restoran Nasi Kukus Paka di Terengganu ditemui mati dengan kesan tikaman berhampiran premis kira-kira jam tujuh pagi tadi.

Mayatnya dijumpai di tempat letak kereta di hadapan restoran oleh seorang pekerja kedai berdekatan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Saiful Bahari Mamat berkata allahyarham yang dikenali sebagai Lutfi, biasa menunaikan solat Subuh berjemaah di surau berhampiran.

“Dia ditikam semasa menuju ke surau menunaikan solat Subuh. Biasanya dia menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Dar as-Salam,” katanya dipetik dari Harakah Daily.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu hadir ke lokasi sebaik diberitahu meminta keluarga allahyarham Lutfi bersabar menerima ujian dari Allah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan